Wednesday, June 12, 2013

Kerjasama Tatiuc - Institut Teknologi Shougang Lahir Tenaga Mahir Industri Keluli


Kolej Universiti Tati (Tatiuc) mengambil langkah proaktif dalam usaha menangani masalah keperluan tenaga mahir dalam industri keluli apabila menjalinkan memorandum perjanjian (MoA) dengan Institut Teknologi Shougang (SGIT), China, kelmarin.

MoA ditandatangani Rektor Tatiuc, Dr Junaidi Ibrahim dan Naib Presiden SGIT, Mr Wang Chuanxue, di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Encik Ghazali Taib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Encik Bazlan Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Steel Sdn Bhd, Mr Iu Zongyu.

Ghazali berkata, perjanjian itu akan melancarkan perkongsian ilmu antara kedua-dua institusi, pembangunan akademik serta melatih anak Terengganu dalam bidang penghasilan keluli.

“Langkah diambil oleh Tatiuc melaksanakan MoA ini merupakan langkah kehadapan dalam era kita memajukan perusahaan besi khususnya kegemilangan sejarah industri yang mula bertapak di Bukit Besi ketika zaman Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCO) sebelum 1971, di mana Terengganu muncul pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara

“Ia juga bagi memenuhi kehendak industri penghasilan keluli yang berkembang di Terengganu terutama dengan pembinaan kilang Eastern Steel Sdn Bhd, Teluk Kalong yang kini sudah 65 peratus siap,” katanya. 

Menurutnya, kerjasama antara dua institusi itu sudahpun bermula awal Februari lalu dengan melibatkan 10 anak Terengganu yang mendapat latihan di bidang kawalan motor selama empat bulan.

Katanya, kerjasama itu diteruskan dalam bidang berkemahiran tinggi, Teknologi Metalugikal melibatkan 40 pelajar yang dilatih oleh empat tenaga pengajar yang pakar di bidang itu dari SGIT.

“Pelajar terlibat yang dipilih merupakan graduan yang mempunytai latar belakang di bidang teknikal dan kejuruteraan akan dilatih untuk memahami teknologi penghasilan keluli terkini yang menggunakan teknologi serta kepakaran dari China.

“Selepas tamat tempoh latihan empat hingga enam bulan di Tatiuc, pelajar terlibat akan diberi peluang menjadi tenaga kerja di kilang Eastern Steel Sdn Bhd yang bakal siap tidak lama lagi dengan nilai pelaburan kira-kira RM1.8 bilion,” katanya.

Kilang Eastern Steel memerlukan kira-kira 1,000 hingga 2,000 tenaga kerja bagi fasa pertama pengambilan sehingga 2014.

No comments:

Post a Comment