Tuesday, June 18, 2013

Kurangkan Aktiviti Luar Dan Minum Lebih Banyak Air, Nasihat Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan keadaan jerebu semasa di negara ini menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air.

Perdana Menteri berkata penjagaan kesihatan perlu menjadi keutamaan untuk semua orang berikutan keadaan jerebu di Malaysia dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari lagi dengan tiupan angin membawa asap dari tompok panas di Sumatera, Indonesia.

"Hanya semalam sahaja, keadaan kualiti udara di Melaka mencapai tahap bahaya," katanya Najib dalam laman Facebooknya semalam.

 Mengikut Jabatan Alam Sekitar (JAS), kualiti udara di seluruh negara bertambah baik sedikit hari ini dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan hanya empat kawasan merekodkan bacaan tidak sihat berbanding enam kawasan semalam.

Empat kawasan tersebut ialah Bandaraya Melaka dengan bacaan IPU 102, Balok Baru (114) dan Indera Mahkota (107) di Kuantan dan Kemaman (121) di Terengganu.

No comments:

Post a Comment