Tuesday, June 18, 2013

Seminar Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 2013 Beri Impak Positif

Seminar Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 2013 yang berakhir semalam memberi impak positif dalam melestarikan kesinambungan sejarah perkembangan dan ketamadunan perundangan Islam di negara ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata beliau berharap seminar sebegini diperbanyakkan dan turut mengundang pemikir dan pakar dalam bidang berkaitan dari luar negara untuk melihat daripada perspektif luar.

"Sebanyak 18 kertas kerja telah dibentangkan dan lima resolusi telah dipersetujui dan akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup seminar anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) di Kuala Terengganu, semalam.

Seminar itu membincangkan pelbagai aspek dalam undang-undang Islam termasuklah kaedah kerajaan terdahulu memelihara kedaulatan Islam.

Sementara itu, peserta dari Persatuan Sejarah Negeri Terengganu Timah Hamzah, 61, berkata seminar itu memberikan pengetahuan mendalam mengenai pentadbiran Islam yang diamalkan di Terengganu.

"Saya sangat berharap seminar ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa," katanya. Seminar ini disertai 250 peserta antaranya dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Perpustakaan Negara dan Muzium Negara.

No comments:

Post a Comment