Tuesday, June 25, 2013
Makmal Politik Ditubuhkan Cadang Perubahan kepada BN
Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam memutuskan penubuhan makmal politik bulan depan untuk membuat cadangan khusus mengenai perubahan yang perlu dilakukan kepada parti gabungan itu.
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata makmal berkenaan akan melihat sama ada perubahan itu melibatkan struktur, penjenamaan atau dasar BN atau ketiga-tiganya sekali. Katanya langkah itu bagi memastikan BN terus berjaya pada masa akan datang.
"Dengan mengambil kira senario politik peringkat kebangsaan dan pencapaian BN serta aliran trend yang dapat kita lihat pada pilihan raya umum lepas, Dewan Tertinggi mengambil ketetapan supaya sebuah makmal politik dikendalikan pada Julai ini.
"Jangka waktu atau tempoh masa yang diperlukan mungkin beberapa hari, mungkin seminggu atau lebih, asalkan kesudahannya makmal ini dapat membuat cadangan khusus dan spesifik tentang perubahan yang perlu dilakukan oleh BN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur, malam semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Berhubung cadangan BN sebagai parti tunggal, Najib berkata perkara itu juga akan diteliti oleh makmal itu. Pada sidang media yang sama, Muhyiddin berkata makmal itu akan dianggotai tiga wakil daripada setiap parti komponen BN serta diawasi oleh Jawatankuasa Pengurusan dan Setiausaha Agung BN.
Katanya makmal itu turut melibatkan wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh terkenal dan wakil belia untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung perkara itu. Ditanya antara tokoh yang terlibat, Muhyiddin berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian.
No comments:
Post a Comment