Monday, June 10, 2013

Malam inta Rasul-Kemaman Berselawat Malam Esok

Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan, Ahbaabul Musthofa Terengganu, akan menganjurkan Malam Cinta Rasul-Kemaman Berselawat malam ini di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman.

Timbalan Pengarah Program, Zulkiply Ahmad berkata penganjuran majlis itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat sekitar Terengganu mengenai kehebatan rangkaian selawat, zikir dan burdah yang mengagungkan Rasulullah SAW.

"Ini adalah program yang pertama kali dianjurkan di Kemaman dan jika kami mendapat maklum balas yang baik, Insya-Allah program ini akan diperluaskan lagi ke seluruh Terengganu dari semasa ke semasa.

"Sudah tiba masanya masyarakat kita dididik dengan hiburan berpaksikan Islam selaras hasrat pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang mahu melahirkan generasi cerdik ilmu, seimbang dunia dan akhirat," katanya kepada pemberita semalam.

Antara artis yang akan menjayakan Malam Cinta Rasul itu ialah Kumpulan Al Mawlid, Habib Najamuddin Osman Al Khereb dan Habib Mehdi Abu Bajar Al Hameed yang akan mendendangkan pelbagai selawat, zikir, qasidah dan burdah sepanjang program berkenaan.

Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman kini menaungi seramai 1,300 anak yatim dan menyediakan pendidikan serta perlindungan kepada mereka.

No comments:

Post a Comment