Wednesday, June 5, 2013

Mara Biaya Pinjaman Kepada 190,358 Usahawan Bumiputera

Mara telah mengeluarkan pembiayaan pinjaman kira-kira RM4 bilion kepada 190,358 usahawan Bumiputera antara tahun 1951 hingga 2011.

Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad berkata, sepanjang tahun lepas Mara meluluskan peruntukan sebanyak RM169 juta kepada 1,976 usahawan Bumiputera wilayah timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Selain itu, katanya, bagi aktiviti pembangunan usahawan yang meliputi Program Latihan Keusahawanan, Pembangunan Pemasaran dan Pembangunan Standard Perniagaan di wilayah itu tahun lepas, seramai 2,346 usahawan telah mendapat latihan dan bimbingan melibatkan peruntukan RM4.1 juta.

"Saya yakin tentu ada di kalangan jutawan dan tokoh-tokoh korporat terkenal pada hari ini yang pernah mendapat bantuan Mara ketika awal pembabitan mereka dalam dunia perniagaan.

"Maka kejayaan ini perlu kita jadikan sandaran untuk melakukan usaha yang lebih mantap pada masa akan datang," katanya dalam teks ucapan dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Karnival Usahawan Mega Zon Timur, Mohd Ishak Zakaria yang juga Pengarah Mara Kelantan sempena program itu semalam.


No comments:

Post a Comment