Wednesday, June 5, 2013

TATIUC Teroka Sumber Alam Hasikan Tenaga Elektrik

Orang ramai mengambil peluang berkunjung ke Karnival Pendidikan Terengganu anjuran TATIU C di TTC.


Kolej Universiti Tati (TATIUC) bercadang mengadakan kerjasama lanjutan dengan Universiti Mie, Jepun bagi sama-sama menerokai sumber alam di negara ini yang boleh menghasilkan tenaga elektrik.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATIUC, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, ia bertepatan dengan hasrat negara yang sedang giat mempromosikan penggunaan teknologi tenaga hijau untuk digunakan di negara ini seperti mana negara matahari terbit itu.

Menurutnya, jalinan hubungan kerjasama antara kedua-duanya telah berlangsung sebelum ini bagi program pertukaran pelajar sejak tiga tahun lalu, yang telah banyak memberikan manfaat kepada pelajar dan juga pensyarah tempatan dengan memberikan pendedahan persekitaran yang berbeza serta pengalaman baru. 

“Hubungan kerjasama itu banyak menjurus kepada peluang meneroka bidang penyelidikan di negeri ini.

Umpamanya, menerusi hasil kajian seorang pensyarah (Jepun) yang datang sebelum ini berpendapat, kuasa angin yang terdapat di lokasi TATIUC mampu menghasilkan tenaga elektrik.

“Malah, dia juga melihat tenaga suria atau matahari dan juga ombak turut mampu menghasilkan tenaga elektrik seperti yang telah dilakukan di Jepun.

Sebab itu, kitabercadang mengadakan kerjasama lanjutan dengan universiti tersebut dan mohon sokongan daripada Kerajaan negeri bagi menerokainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Karnival Pendidikan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi program kerjasama tersebut telah membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kolej universiti ini khususnya dalam bidang penyelidikan dan bidang lain seperti pembuatan, kimia, mekatronik serta sains komputer dan teknologi maklumat.

Katanya, graduan dari kolej ini juga laris di pasaran kerja tempatan dan juga luar negara, serta mampu memperoleh pendapatan tinggi.

SH Online

No comments:

Post a Comment