Sunday, June 30, 2013

Mohd Harrif Akhirnya Raih Kemenangan Peringkat Jelajah 1Malaysia Kelmarin

Harrif dan Zamri...kedua-duanya meraih kemenangan.
Selepas dua peringkat gagal melakukannya, pakar pecut negara, Mohd Harrif Salleh akhirnya meraih kemenangan peringkat pada perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia 2013, Jumaat.

Pelumba berusia 24 tahun daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) memberikan sepenuh tenaga untuk meloloskan diri dalam pemecutan kelompok besar ke garisan penamat.

Beliau menamatkan saingan peringkat ketiga dari Batu Pahat ke Pontian sejauh 94.7km, jarak perlumbaan terpendek, dengan mencatat masa dua jam, lapan minit dan 11 saat.

Sementara pelumba Australia, Paul Van Der Ploeg daripada Team Corbusier dan abang Mohd Harrif, Mohd Zambri juga daripada TSG, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan tersebut juga membolehkan Mohd Harrif merampas jersi Hijau (Raja Pecut) selepas mengumpul 37 mata.

"Bagaimanapun, untuk mengekalkan jersi Hijau ini saya dan juga pasukan mungkin kena bekerjasama dengan lain-lain pelumba Malaysia, tambah lagi esok adalah laluan terpanjang. Kalau ada pemecahan pada awal perlumbaan, kita kena bekerja keras untuk tidak berada terlalu jauh di belakang kelompok pendahulu," kata Mohd Harrif.

Katanya, rakan sepasukan mula membuat gerak serangan lagi tiga kilometer sebelum ke garisan penamat dan pada masa yang sama pasukan Huon Salmon-Genesys Wealth Adviser turut berusaha membawa pakar pecut mereka untuk mencari peluang.

"Bila saya tengok gerakan itu, saya pun mengekori mereka. Lagi 300 meter saya henjut ke hadapan dan terus sampai ke garisan penamat dulu," katanya.

 Menurut pelumba Terengganu itu, adalah lebih baik melakukan kerjasama dengan pelumba-pelumba tempatan, baik daripada pasukan kebangsaan mahupun pasukan benua yang lain, untuk mempastikan pelumba tempatan boleh mengekalkan jersi sehingga ke peringkat akhir perlumbaan. Jersi Kuning, selaku individu terbaik keseluruhan, masih kekal menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Loh Sea Keong yang mewakili OCBC Singapore Continental Cycling Team.

 Beliau turut mengekalkan jersi Putih selaku pelumba terbaik Malaysia dan juga jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia setakat ini.

Pelumba berusia 26 tahun itu turut bersetuju dengan pendapat Mohd Harrif bahawa pelumba tempatan harus bekerjasama untuk membantu pelumba Malaysia memenangi perlumbaan dan jersi yang dipertandingkan. 

Memandangkan laluan landai pada peringkat ketiga, jersi Merah (Raja Bukit) masih menjadi milik pelumba Filipina, Rustom Lim daripada pasukan LBC-MVPSF Cycling Pilipinas dengan mengumpul enam mata. Peringkat keempat esok dari Angsana Mall, Johor Baharu ke Rumah Melaka di Bukit Katil, Melaka adalah peringkat perlumbaan terpanjang dalam edisi ke-48 Jelajah Malaysia dengan jarak 206.3km.

No comments:

Post a Comment