Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang meningkatkan kapasiti stesen janaelektrik Sultan Mahmud Kenyir sebanyak 15 peratus daripada 400 megawatt (MW) sekarang, sekali gus meneruskan usaha berterusannya bagi memenuhi keperluan elektrik negara yang semakin meningkat.
Pengurus Besar Stesen Jana elektrik Sultan Mahmud, Mohd Aidee Hamidin, berkata ini boleh dilakukan menerusi penambahbaikan empat turbin yang selama ini masing-masing menjana 100 MW.
"Pada masa sekarang, kita sedang membuat penyelidikan menggunakan teknologi baharu yang mampu meningkatkan keupayaan setiap turbin sehingga 115 MW setiap satu menjadikan 460 MW," katanya kepada pemberita ketika kunjungan media ke stesen itu baru-baru ini.
Mohd Aidee berkata penyelidikan yang dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun itu, akan mengambil kira penambahbaikan yang boleh dilakukan serta kos.
"Kita jangka ia boleh dilakukan menjelang tahun 2016, bermula dengan turbin nombor dua," katanya.
Selain itu, Mohd Aidee berkata sebanyak empat projek hidroelektrik sedang dilaksanakan oleh TNB yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Kita dapati ada keupayaan untuk menambah tenaga hidroelektrik di Malaysia. Ada empat projek hidroelektrik yang sedang dilaksanakan, masing-masing di Hulu Terengganu, Ulu Jelai (Pahang) dan beberapa tempat lain," katanya.
Ketika ini, tenaga hidroelektrik yang menyumbang kepada 10 hingga 14 peratus kepada jumlah sumber tenaga negara, akan boleh dipertingkatkan menerusi empat projek hidroelektrik ini.
"Sekarang ini, jumlah kapasiti penjanaan menerusi hidroelektrik sebanyak 1,900 MW.
Jadi, kita akan sampai 3,000 MW menerusi empat projek ini dan beberapa projek mini hidro menjelang 2020," katanya.
Menyentuh status terkini projek hidroelektrik Hulu Terengganu, Mohd Aidee berkata ia sudah siap 41 peratus, dan dijangka keseluruhannya siap pada akhir 2016.
Mengenai peningkatan penggunaan tenaga elektrik, Mohd Aidee berkata penggunaan elektrik pernah mencecah setinggi 16,500 MW pada satu masa pada bulan Mac berbanding 15,300 MW dalam tempoh yang sama pada 2012.
Buat masa ini, jumlah penjanaan elektrik sebanyak 21,000MW oleh TNB dan penjana tenaga bebas (IPP).
No comments:
Post a Comment