Tuesday, June 4, 2013
Najib - Strategi Berikutnya 'Perangi Persepsi'
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengakui salah satu kelemahan yang harus diperbaiki jenteranya ialah dalam aspek menangani 'perang persepsi'.
"Ini yang mungkin kita boleh perbaiki, bagaimana kita harus menangani perang persepsi - bukan realiti tapi persepsi," ujarnya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, semalam.
Menurut Najib, perkara melibatkan persepsi ini, yang semakin menular mutakhir ini - boleh dibentuk dengan pelbagai cara.
"... bukan saja dengan cara bersemuka (face to face) tapi kini sudah ada Facebook (untuk membentuk persepsi).
"Ini perlu kita beri perhatian, mungkin kita kurang tajam dalam perkara ini, tapi kita boleh rancang dan dengan menggunakan pengalaman kita, supaya di masa akan datang kita akan lebih lebih berjaya untuk memaparkan apa yang sebenarnya - bukan persepsi tapi realiti," katanya.
Jelasnya, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah cerminan kepada ketelusan kerajaan untuk menjalankan pilihan raya sebaik mungkin.
Malah kerajaan begitu komited untuk melaksanakan penambahbaikan termasuk mengambil kira cadangan pihak pembangkang.
"Namun masih ada pihak yang hendak pertikai keputusan pilihan raya...," ujarnya lagi.
Najib berkata, ada sesetengah tuduhan yang dilemparkan terhadap PRU13, yang didapati langsung tidak masuk akal, seperti tuduhan kononnya BN membawa sehingga 40,000 'pengundi hantu' warga Bangladesh untuk memastikan kemenangan.
Ujarnya, tuduhan-tuduhan seumpama itu sudah dibangkitkan berbulan lamanya sehingga menimbulkan rasa 'paranoid' dalam kalangan yang mempercayainya.
"Ini tidak adil bagi mereka yang berkulit hitam manis yang dituduh sebagai bukan warga tempatan," ujar Najib lagi.
No comments:
Post a Comment