Tuesday, June 4, 2013

Pasar Payang - Meja Rundingan Masih Dibuka?



Meja perundingan sedia dibuka bagi mengadakan perbincangan semula isu Pasar Payang yang seolah-olah masih belum mencapai permuafakatan berkenaan pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, sepatutnya ada permuafakatan antara kedua-duanya, agar pembangunan yang dirancang berjalan mengikut kehendak rakyat.

Beliau menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai seorang yang boleh dibawa berunding dan sentiasa terbuka dengan pemikiran baru.

Ditanya perundingan bagaimana yang dimaksudkan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan baru dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri.

Beliau bagaimanapun memaklumkan akan mendapatkan penerangan jelas daripada pihak berkuasa negeri berhubung isu itu dalam masa terdekat.

 Menurutnya, beliau juga sedia mendengar apa-apa pandangan dan juga buah fikiran terutama di kalangan pengusaha di situ bagi menyelesaikan kemelut yangmasih belum berakhir itu, walaupun Kerajaan Negeri telah memutuskan pembinaan Pasar Payang baru tetap dilakukan. “Sepatutnya ada muafakat supaya sesuatu perubahan hendak dilakukan adalah mengikut kehendak rakyat. Setiap pembangunan yang ingin dilaksana juga perlu diperjelas kepada rakyat dan jika mereka menerima perubahan itu, ia boleh dilaksanakan. “Tetapi jika ada sebarang ketidakpuasan hati, termasuk dalam isu Pasar Payang, meja perundingan sentiasa terbuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment