Monday, June 10, 2013
Pakatan Rakyat Fail 34 Petisyen Pilihan Raya Bermula Hari Ini Hingga Rabu
Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan 34 petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di seluruh negara bermula Isnin (hari ini) hingga Rabu - iaitu tarikh akhir bagi tempoh 21 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diwartakan.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata, PKR akan memfailkan petisyen untuk 18 kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, PAS empat kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN manakala DAP dua kerusi Parlimen.
"Satu petisyen pilihan raya membabitkan jumlah RM10,000 untuk bayaran deposit dan RM5,000 bagi urusan pemfailan kes dan proses mahkamah.
Oleh itu, kami memerlukan sekitar RM1.5 juta bagi kesemua 34 petisyen yang difailkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, PKR akan turut memfailkan tindakan undang-undang termasuk petisyen berasingan di Sabah bagi menuntut mahkamah menyemak senarai pengundi yang dicemari pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja.
Sementara itu, katanya, PKR akan mengambil tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan pindaan Seksyen 9A yang menghalang kesahihan daftar undi dicabar di mahkamah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Pindaan Seksyen 9A yang dibuat selepas pilihan raya kecil Likas pada 1999 berkemungkinan disalahgunakan untuk melindungi pengundi hantu memandangkan kerajaan telah menetapkan daftar undi tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun terdapat bukti," dakwanya.
Justeru itu, Rafizi berkata, satu pasukan yang diterajui oleh Dr Aziz Bari akan memulakan tindakan undang-undang tersebut.
No comments:
Post a Comment