Peguam Kamarul Hisham Hisham yang mewakili Sirul Azhar Umar ketika ditemui wartawan semalam. |
Mohamed Apandi membenarkan permohonan Sirul Azhar, 39, selepas pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara II Datuk Tun Majid Tun Hamzah tidak membantah permohonan itu.
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, bagaimanapun menangguhkan pendengaran rayuan bekas Koperal Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri ke 24 Jun berikutan rekod rayuan belum lengkap.
Mahkamah dijadual mendengar rayuan mereka hari ini. Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka atas kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berumur 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Terdahulu, Tun Majid memberitahu mahkamah isu berkaitan akuan bersumpah dibuat penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam semasa perbicaraan tetapi nota prosiding Mahkamah Tinggi mengenai isu itu tidak terdapat dalam rekod rayuan.
Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mac tahun ini. Katanya Karpal Singh selaku peguam pemerhati keluarga Altantuya, pada 2008 telah memohon untuk memanggil empat individu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu berikutan akuan bersumpah Balasubramaniam yang pertama membabitkan beliau (Najib) dan individu lain dan satu lagi akuan bersumpah yang menarik balik akuan bersumpah yang pertama.
Tun Majid berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang mendengar permohonan itu telah menolaknya.
Sementara itu, minggu lepas Sirul Azhar memfailkan permohonan bagi memasukkan alasan tambahan rayuan dengan afidavit sokongan berhubung perkara melibatkan permohonan Karpal Singh.
Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata kedua-dua akuan bersumpah Balasubramaniam telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan dibawa kepada perhatian hakim.
Beliau berkata nota prosiding permohonan Karpal Singh akan dapat membantu rayuan anak guamnya. Hakim Apandi Ali kemudian berkata pendengaran hari ini perlu ditangguhkan kerana mahkamah mahu meneliti nota prosiding permohonan Karpal Singh dan keputusan Mahkamah Tinggi.
Dalam notis usulnya difailkan pada 3 Jun, Sirul Azhar memohon diisytiharkan sebagai perbicaraan salah oleh Mahkamah Tinggi kerana mendakwa dia telah terdedah kepada publisiti buruk secara meluas dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu dia dinafikan perbicaraan yang adil.
Sirul Azhar berkata publisiti buurk yang diterimanya telah menimbulkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah dan dengan itu sabitannya boleh dipertikaikan.
Dia mendakwa publisiti buruk itu adalah menerusi tiga akuan bersumpah, iaitu dua oleh Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin. Azilah, 34, diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar.
No comments:
Post a Comment