Saturday, June 15, 2013

Pasar Tani Terengganu Catat Jualan Lebih RM11 Juta Dalam Tempoh Lima Bulan

Pasar Tani di Terengganu, yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA), berjaya mencatat jualan RM11.7 juta dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding kira-kira RM10 juta tempoh sama tahun lepas.

Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh berkata peningkatan ini mempunyai kaitan dengan beberapa program yang dikendalikan FAMA bagi menggalakkan orang ramai memilih pasar tani sebagai lokasi pilihan utama mendapatkan barang dan produk segar.

"Salah satu program adalah Jimat Belanja Dapur di mana pengurangan harga ayam sebanyak 70 sen seekor di setiap pasar tani FAMA seluruh Terengganu," katanya  di Kuala Terengganu,kelmarin.



Hasan berkata program Jimat Belanja Dapur itu berjaya meningkatkan jualan di kesemua 18 pasar tani FAMA di negeri itu dengan tiga daripadanya paling mendapat sambutan iaitu pasar tani Padang Hiliran di Kuala Terengganu, Jertih (Besut) dan Kerteh (Kemaman).

Dalam tempoh tersebut, beliau berkata pasar tani Padang Hiliran dan Kerteh mencatat jualan tertinggi, masing-masing melebihi RM3 juta dan diikuti pasar tani Setiu sebanyak RM2 juta.

"Tidak ketinggalan juga sambutan pasar tani Cukai (Kemaman) dan pasar tani Permint Jaya Kuala Terengganu, masing-masing mencatat jualan RM1.5 juta dalam tempoh tersebut," katanya.

Hasan berkata antara produk yang paling mendapat sambutan di pasar tani di negeri itu ialah ayam daging, daging lembu dan kambing selain ikan air tawar seperti keli, belut, haruan, patin, talapia dan baung serta ikan hiasan.

Jualan paling tinggi dalam tempoh lima bulan itu ialah pada Mei berjumlah RM2.5 juta, diikuti April (RM2.4 juta), Mac (RM2.3 juta), Februari (RM2.2 juta) dan Januari (RM2.1 juta), katanya dan menambah bahawa FAMA merancang membuka dua lagi pasar tani iaitu di Kemaman dan Batu Rakit Kuala Terengganu tahun ini.

 Beliau berkata FAMA menyasarkan jumlah jualan pasar tani tahun ini sebanyak RM25 juta daripada RM24 juta tahun lepas ini dan dijangka mampu mencapai sasaran berdasarkan jumlah jualan yang memberangsangkan selain peserta pasar tani seramai 1,056 orang.

No comments:

Post a Comment