Saturday, June 15, 2013

Portal Berita Tidak Akan Dilesenkan


Kerajaan tidak akan melesenkan portal berita seperti yang dilakukan negara jiran, Singapura baru-baru ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun menegaskan, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan tidak ada cubaan mana-mana pihak untuk menimbulkan sensitiviti kaum, agama dan bangsa khususnya melalui media sosial.

"Bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana yang cuba menanam kebencian elemen rasis, agama, bahasa ataupun memperkecilkan institusi raja berperlembagaan mahupun cuba "subvert" sistem demokrasi berparlimen boleh diambil tindakan.

"Tindakan ini sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya berucap menyempurnakan Majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadian Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 di Hotel Istana, di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Selasa lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan dan mencontohi penguatkuasaan dilakukan negara jiran itu dalam membendung budaya fitnah menerusi media sosial.

Baru-baru ini, Singapura menerusi Lembaga Pembangunan Media negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita termasuk portal Yahoo! Tempatan akan tertakluk seperti dikenakan terhadap media tradisional.

Dalam pada itu, Najib juga mengingatkan rakyat khususnya pengguna media sosial supaya tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara itu untuk kepentingan pihak tertentu yang berselindung di sebalik portal dan menggunakan nama samaran untuk menyebarkan maklumat songsang tanpa rasa tanggungjawab. 

"Kerap kali wujud penulis 'ananymous' dalam media sosial yang kadang-kalanya bersifat 'nakal' dan ada kalanya mereka menggunakan peluang ini untuk menyebarkan maklumat yang berunsur fitnah yang boleh merosakkan keharmonian rakyat.

"Keadaan ini berbeza dengan media arus perdana yang mana pengamal media terikat dengan etika kewartawanan yang menjadikan mereka sentiasa berwaspada dalam penulisan dan penyampaian maklumat," katanya.

Tambahnya, meskipun portal berita tidak dilesenkan, namun pengendali laman media sosial perlulah menggunakan kebebasan media itu selari dengan prinsip kebertanggungjawaban.

"Saya harap biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia, yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet dalam negara," jelasnya.

Sementara itu, wartawan BH, Sophia Ahmad mengungguli Hadiah Kajai pada majlis penganugerahan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012 itu.

Sembilan wartawan Media Prima Bhd turut membolot lapan kategori utama hadiah berkenaan pada Malam Wartawan Malaysia 2013 yang disampaikan Datuk Seri Najib Razak di Hotel Istana. Majlis tahunan anjuran bersama MPI dengan PETRONAS itu juga menyaksikan wartawan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim memenangi dua kategori dengan satu daripadanya dikongsi bersama Iskandar Alang Zainuddin. 

Kejayaan Sophia dicapai melalui beberapa siri laporan penyiasatannya 'Graduan Palsu' yang membongkar kegiatan menjual ijazah palsu sebuah kolej universiti di Subang Jaya tahun lalu.

Berikutan laporan itu, pihak berkuasa menyerbu kolej berkenaan dan menghentikan operasinya, sekali gus menyekat penjualan ijazah palsu kepada graduan. Sophia membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan sekeping siling emas 100 gram bernilai RM16,000.

 Setiap kategori kecuali Hadiah Kajai menyediakan hadiah wang tunai RM15,000 selain piala dan sijil sumbangan PETRONAS. MPI menerima 491 bahan penyertaan daripada 264 wartawan dari 26 organisasi berita.

Ditemui selepas majlis itu, Sophia berkata hadiah berkenaan ditujukan khusus kepada bapanya, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad Talib.

"Saya menghadiahkan anugerah ini kepada insan yang sangat saya kasihi dan yang memimpin saya apabila saya salah dan yang menyokong saya apabila saya rebah.

 "Tanpa ayah, saya tidak akan menaiki pentas pada malam ini. Selain itu, saya juga menghadiahkannya kepada barisan editor BH yang banyak membimbing saya," katanya.

 Beliau berkata, hadiah itu juga memperkukuh semangatnya untuk terus menghasilkan laporan berkualiti untuk pembaca. Pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2012

Dari Media Prima Bhd: Hadiah Kajai - Sophia Ahmad (BH) Laporan Berita Cemerlang - Farrah Naz Karim dan Iskandar Alang Zainuddin (NST) Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang - Farrah Naz Karim (NST) Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang - Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (HM) Penulisan Kolum Cemerlang - Datuk Zainul Ariffin Mohamed Isa (NST) Kewartawanan Foto Cemerlang - Khairul Mazzaman Ghazali (NST) Berita Video Terbaik - Aminhayat Abd Rahim dan Fifi Izwan Roslan (TV9) Dokumentari Video Terbaik (Za'im Helmi Zaini)

No comments:

Post a Comment