Monday, June 24, 2013

Pelajar Cemerlang Patut Fokus Belajar Daripada Berpolitik - Ahmad Said


Pelajar cemerlang Terengganu yang terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang dengan memberi fokus terhadap pembelajaran dan bukannya berpolitik.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata 70 peratus daripada pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara terdiri daripada pelajar wanita yang kebanyakannya mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

"Saya nasihatkan pelajar, berilah tumpuan kepada pelajaran dan jauhkan diri dari terlibat dengan politik kerana kalau gagal mereka juga akan rugi," katanya kepada pemberita selepas penyampaian tawaran Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.

"Kita mahu lihat satu masa nanti negara kita akan ada hospital terutama di Terengganu yang pesakit perempuan hanya dirawat oleh doktor wanita termasuk doktor pakar," katanya.

 Pada majlis itu, Ahmad Said turut menyampaikan biasiswa skim pelajar cemerlang program berkembar United Kingdom dan kejuruteraan Jerman serta penyampaian wang pendahuluan diri kepada pelajar perubatan tajaan Yayasan Terengganu (YT) ke Rusia.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Zakaria Yusof.

Seramai empat pelajar dianugerahkan Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, lima pelajar mendapat Biasiswa Skim Cemerlang Pelajar Cemerlang Program Berkembar United Kingdom dan lapan pelajar memperoleh Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Kejuruteraan Automotif Jerman.

Sementara itu, 41 pelajar perubatan tajaan YT ke Rusia pula menerima wang pendahuluan diri masing-masing sebanyak RM17,503 seorang untuk tempoh enam bulan.

Sehingga Mei lalu, kerajaan Terengganu melalui YT membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menaja 231 pelajar perubatan di Rusia yang melanjutkan pelajaran di universiti seperti Volgograd State Medical University, Russian National Resarch Medical University dan I.M. Sechenov First Moscow State Medical University.

No comments:

Post a Comment