Bangunan berkembar KLCC hilang ditelan jerebu ketika tinjauan di Kuala Lumpur, hari ini. IPU di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga merekodkan bacaan tidak sihat hingga jam 11 pagi tadi. |
Menurut sumber Kementerian Pendidikan, kesemua mereka tidak perlu hadir bertugas di sekolah yang berkenaan. Beliau yang dihubungi Bernama diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa guru yang diarah hadir di sekolah masing-masing Isnin walaupun kerajaan telah mengumumkan sekolah terbabit ditutup kerana jerebu.
Sumber itu turut mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan semua sekolah di Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya ditutup Isnin.
Peringkat daerah pula meliputi sekolah di Segamat, Muar dan Ledang di Johor, Kuantan (Pahang) dan Port Dickson (Negeri Sembilan), katanya.
Sementara itu, Daerah Muar yang diisytiharkan kawasan darurat bencana jerebu masih berada pada kategori berbahaya sekalipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ menurun daripada 690 kepada 507.
Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawangnya, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka di Melaka kekal pada status bahaya dengan masing-masing mencatatkan 443 dan 373.
Pelabuhan Klang (Selangor) dan Port Dickson (Negeri Sembilan) pula dikategori sebagai sangat tidak sihat dengan bacaan IPU masing-masing pada 214 dan 276, berbanding di bawah 200 pada awal hari ini.
Di Lembah Klang, kawasan Batu Muda dan Cheras turut mencatatkan peningkatan dengan IPU masing-masing melebihi 130 berbanding 110 pada awal semalam.
Sebanyak 14 kawasan mencatat IPU tidak sihat termasuk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, sementara 31 sederhana dan dua kawasan iaitu Sandakan dan Tawau di Sabah mencatat kategori baik.
Kawasan yang berada pada tahap tidak sihat ialah: Selangor: Petaling Jaya dengan bacaan 151, Banting (133), Shah Alam (130) dan Kuala Selangor (112). Negeri Sembilan: Nilai (137) dan Seremban (103). Pahang: Indera Mahkota (138) dan Balok Baru, Kuantan (183) Terengganu: Paka (115) dan Kemaman (174). Putrajaya (138)
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
No comments:
Post a Comment