Monday, June 10, 2013

Penanaman Pokok - TESCO Cipta Rekod

Program penanaman 1,500 pokok karas di Hutan Simpan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun anjuran Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd (TESCO) kelmarin, berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan TESCO Malaysia, Azlam Shah Alias, berkata program itu adalah hasil dana daripada jualan beg plastik yang dilancarkan pusat beli-belah itu pada setiap Sabtu.

Katanya, penjualan beg kitar semula melalui kempen penghijauan bumi yang dilaksanakan TESCO juga bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi antara penyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Hasil kerjasama 2 agensi “Program bersejarah TESCO ini hasil kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Kayan Malaysia (MTIB) dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT),” katanya selepas Program Penanaman Anak Benih Pokok Karas Terbesar di Malaysia di hutan simpan itu, kelmarin.

Pada majlis itu, wakil MBR, Helilia Juana menyampaikan sijil pengesahan rekod berkenaan kepada Azlam Shah dan Ketua Pengarah MTIB, Dr Jalaluddin Harun.

Turut hadir Pengurus Besar KPKKT, Nordin Unoss dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Datuk Zakaria Awang.

Program itu disertai 200 sukarelawan termasuk pekerja TESCO, MTIB, KPKKT dan penduduk sekitar kampung Pasir Raja menanam benih pokok karas sepanjang 1.3 kilometer di hutan simpan itu.

Percubaan kali pertama Azlam Shah berkata, penanaman 1,500 pokok karas itu adalah kali pertama percubaan terbanyak menanam spesies pokok itu di negara ini yang juga sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, sebanyak 29,500 pelbagai spesies pokok ditanam sepanjang tahun lalu dan tahun ini sasaran ialah menanam 300,000 pokok dan 500,000 pokok pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment