Thursday, June 27, 2013

Pilihan Raya Kecil Kuala Besut Dilaksana Dalam Tempoh 60 Hari Mulai Hari Ini


Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini (Khamis).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

 "Apa pun, SPR akan bermesyuarat untuk menentukannya (tarikh penamaan calon dan pengundian)," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil pilihan raya umum negara ke-13 negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan malam semalam.

Berikutan kematian Dr A.Rahman akibat kanser paru-paru semalam, pilihan raya kecil pertama bakal diadakan selepas pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei lepas.

Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya pilihan raya kecil diadakan memandangkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS manakala satu lagi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Abdul Aziz menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya SPR menipu dalam pilihan raya umum lepas sebaliknya beliau menegaskan ia diadakan secara baik dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Hari-hari kita dengar orang cakap SPR menipu sahaja. Sebenarnya perkara ini tidak benar kalau calon itu menang bukan kerana SPR tetapi itu adalah pilihan rakyat dan kalau calon itu kalah, itu bukan kerana SPR menipu itu juga pilihan rakyat," katanya.

Menurutnya mereka yang tidak berpuas hati dengan pilihan raya umum itu boleh memfailkan petisyen di mahkamah.

 Abdul Aziz berkata post mortem untuk perjalanan pilihan raya di Sabah akan diadakan hari ini.

No comments:

Post a Comment