Umno perlu melaksanakan perubahan termasuk menggunakan pendekatan baharu yang mampu menawan golongan muda yang kebanyakannya berpendidikan tinggi dan celik teknologi maklumat.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata langkah itu juga boleh membantu Umno untuk mengetahui dan memahami kehendak golongan muda.
"Anak muda sekarang berilmu tinggi dan mahir dengan teknologi...cuba dekati mereka dengan cara lebih santai.
"Oleh itu, Umno perlu agresif dan serius melaksanakan perubahan untuk memenangi hati mereka kerana terdapat kira-kira 7 juta pengundi muda pada pilihan raya umum ke-14 berbanding 3.9 juta orang pada PRU ke-13," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata daripada pemerhatian Mubarak, golongan muda negara ini mahukan kerajaan yang berintegriti, bebas rasuah dan sentiasa mendekati rakyat.
Berikutan itu, Abdul Aziz berkata Mubarak mahu membantu Umno dalam hal ini dengan menganjurkan seminar berhubung kelangsungan kuasa politik orang Melayu di Johor Baharu pada Ogos depan.
Seminar itu akan dihadiri lebih 400 perwakilan Mubarak dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan politik, katanya.
Kira-kira 100 anggota Mubarak menunaikan Solat Hajat selepas solat Isyak malam Khamis, sempena perpindahannya dari Menara Dato' Onn ke pejabat baharu di Bangunan Umno lama, di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
No comments:
Post a Comment