Friday, June 7, 2013

PKBM Cari Mekanisme Terbaik Jaga Keselamatan Atlet Berbasikal Semasa Latihan


Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhasrat mencari mekanisme terbaik bagi menjaga keselamatan atletnya ketika menjalani latihan.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata tidak dapat dinafikan kemalangan boleh berlaku di mana sahaja dan risiko itu turut dihadapi semua atlet berbasikal.

"Kita perlu mencari mekanisme terbaik untuk mencari jalan penyelesaiannya. Mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya lain juga perlu kerana kita berkongsi jalan raya," katanya mengulas kematian seorang pelatih skuad projek pelapis lumba basikal negeri Terengganu dalam nahas dengan sebuah lori ketika menjalani latihan harian di Kuala Terengganu Rabu.

Mohd Shafik Imran Syahril, 15, dari Kampung Cabang Tiga, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala dua lagi pelatih cedera iaitu Ahmad Fikri Ahmad Fazli, 19, dan Cikku Mohamad Nadzmi Cikku Ramli, 19.

 Ditemui pemberita selepas majlis pelancaran laluan Jelajah Malaysia 2013 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin semalam, Naim berkata PKBM sentiasa mengingatkan bahawa atlet yang ingin berlatih di jalan raya perlu diiringi kereta atau van atau marsyal, yang bertindak mengawal keselamatan atlet berkenaan.

Bagaimanapun, Naim berkata kos boleh menjadi faktor kekurangan pemantauan, lebih-lebih lagi bagi persatuan berbasikal yang kecil.

Kemalangan itu berlaku semasa kira-kira 40 pelatih lumba basikal Terengganu termasuk dari pasukan TSG, Skuad Sukma dan projek pelapis pasukan lumba basikal Terengganu menjalani latihan bermula kira-kira 8.30 pagi dari Kuala Terengganu menuju Bukit Besi melalui Lebuhraya Pantai Timur 2.

Pada Mac tahun lepas, pelumba basikal pasukan kelab Le Tua, Rafizi Hamdan, 37, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berbasikal di Jalan Lingkaran Tengah II di Kuala Lumpur.

Pada Januari tahun lepas pula, empat pelumba negara iaitu Mariana Mohamad, Masziyaton Mohd Radzi, Mohd Azri Ahmad dan Mohd Aziz Zahit cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Putrajaya.

No comments:

Post a Comment