Wednesday, June 5, 2013

Polis Terengganu Tubuh Pasukan Pantau Maklumat Fitnah, Hasutan


Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi memantau penyebaran maklumat berbaur hasutan dan fitnah menerusi media sosial yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, unit itu menjalankan pemantauan 24 jam bagi mengesan sebarang gejala itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

"Walaupun belum ada kes yang dilaporkan berlaku setakat ini, kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau perkembangan media baru khususnya di internet.

Unit ini akan memantau laman-laman yang didapati mempunyai unsur hasutan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap pengendalinya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas mengenai pergerakan pasukan tentera siber pembangkang yang dikenali sebagai Red Bean Army yang melancarkan serangan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter serta YouTube khususnya di negeri ini.

Jamshah mengingatkan penggiat media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang diterima mereka.

Katanya pengamal media sosial harus peka dengan persekitaran kerana maklumat sedemikian mudah tersebar serta membawa kesan psikologi yang besar dalam kalangan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Jamshah memberitahu, siasatan mengenai kes perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di sini baru-baru ini kini hampir selesai.

"Kita akan maklumkan semula perkembangan kes tersebut sebaik sahaja siasatan telah selesai sepenuhnya," katanya.

No comments:

Post a Comment