Wednesday, June 5, 2013

Kematian Banduan Karuna Nithi Di Lokap Tiada Unsur Jenayah

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin membuktikan tiada unsur jenayah terhadap tahanan, P. Karuna Nithi, 42, yang mati di dalam lokap pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, rakaman itu bermula dari 28 Mei iaitu tarikh beliau dimasukkan ke dalam lokap sehingga ditemui mati pada 1 Jun.

Menurutnya, hasil daripada penelitian tiada berlaku unsur jenayah sama ada membabitkan anggota polis ataupun dalam kalangan tahanan di lokap berkenaan.


"Kami juga telah mengambil keterangan antara 20 hingga 30 orang termasuk ahli keluarga dan tahanan berhubung kematian mangsa.

"Setakat ini, tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak berhubung dakwaan yang mengatakan mangsa telah dipukul," katanya pada sidang akhbar di Seremban semalam.

Osman berkata, orang ramai terutamanya pihak tertentu tidak perlu campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh polis.

Tambahnya lagi, laporan penuh mengenai kematian mangsa akan diketahui selepas laporan bedah siasat diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi

 "Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan jenayah dalam kes tersebut," katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Karuna Nithi yang menetap di Gemencheh dekat sini ditemui tidak sedarkan diri di lokap berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang oleh seorang anggota polis sebelum memanggil ambulans untuk tindakan lanjut.

Satu pasukan perubatan dari Hospital Tampin yang datang memberi bantuan kemudiannya mengesahkan tahanan itu telah meninggal dunia kira-kira pukul 7 malam.

Mangsa yang tidak bekerja sebelum itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Tampin dan mengaku salah atas tuduhan memukul isterinya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 sementara menunggu hukuman ke atasnya yang akan dijatuhkan pada 1 Julai nanti.

No comments:

Post a Comment