Tuesday, June 18, 2013

Sultan Mizan - Banyak Kejayaan Dicapai Di Bawah Kepimpinan Ahmad Said


"Dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan...Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini."
  - Sultan Mizan Zainal Abidin 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sukacita kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said apabila slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ benar-benar diterjemahkan ke dalam sistem pentadbiran negeri.

“Urusan pentadbiran yang bersifat mesra rakyat telah memberi keselesaan apabila mereka berurusan dengan agensi kerajaan, malah kurangnya karenah birokrasi menjadikan sesuatu perkara berkaitan pemasalahan cepat diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Terengganu juga gembira apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan fizikal secara keseluruhannya dan telah terbukti dengan pembangunan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Tanjung dan Ladang.

Langkah tersebut amat bertepatan bagi pembangunan bandar ini di samping turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sekitar.

Sultan Mizan bertitah, dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan.

Baginda berharap bibit perpaduan terus tersemai dalam kalangan rakyat bagi menjadikan negeri ini maju menjelang 2020.

“Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum ke-13 telah berjalan dengan aman dan berharap kerajaan yang dipilih memastikan dasar-dasar negeri yang dirangka sebelum ini diteruskan pelaksanaannya,” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas di Wisma Darul Iman semalam.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja; Engku Kelana DiRaja; Yang Dipertua DUN, Haji Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Kenamaan lain yang hadir ialah Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Sehubungan itu, Baginda menyeru setiap umat Islam untuk bermuhasabah dan berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menangani isu-isu mencabar yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat serta perlu ditangani dengan penuh bijaksana oleh semua pihak.

“Perkara ini jika tidak ditangani dengan teliti akan membawa akibat yang buruk kepada negeri ini,” titah Baginda.

Sultan Mizan  memuji usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan dan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang beridentiti negeri untuk menarik kedatangan pelancong.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mencari satu mekanisme supaya sektor pelancongan mampu membuka peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat.

“Beta percaya dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan utama negeri yang akan menjadi kenyataan pada 2014 dan ini sudah tentu mampu menarik dan menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya ke Tasik Kenyir,” .

“Beta juga suka mengingatkan bahawa pembangunan Tasik Kenyir perlulah dibuat secara kerjasama dengan agensi swasta supaya tidak membebankan kerajaan dalam usaha membangunkan tasek itu,” titah Baginda. 

Sultan Mizan juga mengucap tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh bagi menyediakan kemudahan asas kepada golongan berpendapatan rendah malah dasar kerajaan yang mensasarkan 10,000 buah rumah mampu milik (2009-2012) telah tercapai serta lima tahun ke hadapan dengan jumlah yang sama.

“Beta menyeru kerajaan menggunapakai kaedah yang boleh mempercepatkan pembinaan rumah-rumah ini dengan penglibatan pihak swasta atau syarikat perumahan di bawah kendalian kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang boleh dijadikan rakan kongsi bagi membina lebih banyak rumah mesra rakyat,” titah Baginda.


No comments:

Post a Comment