Monday, June 17, 2013

Sultan Mizan Puas Hati Pelaksanaan Program Pembangunan Negeri


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang menyaksikan ekonomi Terengganu berkembang pada tahap positif.

"Pencapaian yang memberangsangkan ini dapat dilihat dalam peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM14,738 juta pada tahun 2008 kepada RM16,200 juta pada tahun 2012 iaitu pertumbuhan sebanyak 9.92 peratus.

"Angka ini merupakan penterjemahan daripada aktiviti ekonomi yang rancak di Terengganu dan beta difahamkan, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang ketara kepada peningkatan KDNK pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM9.636 juta," titah baginda.


Pembangunan fizikal dalam Bandaraya Kuala Terengganu, kewujudan Bandar Baharu Bukit Besar dan daerah baharu Kuala Nerus adalah antara projek yang dipuji Sultan Mizan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat seperti perumahan, infrastruktur dan kemudahan asas lain.

Baginda turut menyeru kerajaan negeri supaya memberi fokus terhadap sektor industri kecil dan sederhana (IKS), kesihatan, industri pelancongan terutama pembangunan Tasik Kenyir, pembinaan rumah mampu milik, sektor pertanian yang lebih komersil, isu kemiskinan di kalangan rakyat Terengganu dan memperbanyakkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat dalam aktiviti seharian.


"Program membantu rakyat miskin perlu dibuat dengan proaktif supaya kaedah yang berinovatif boleh digunakan untuk golongan ini," titah baginda sambil mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.


Selain itu Tuanku Mizan menitahkan pimpinan kerajaan negeri memastikan dasar yang dirangka sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, terus dilaksanakan supaya kesejahteraan negeri ini kekal terpelihara.

Baginda bertitah susulan PRU13, isu seperti perkauman, hak keistimewaan orang Melayu dan Perlembagaan Malaysia telah ditimbulkan dan mulai menggugat kestabilan politik dan keharmonian negara.

"Beta menyeru setiap umat Islam untuk bermuhasabah dan berpegang kepada ajaran al-Quran dan As-Sunnah dalam menangani isu-isu yang mencabar terutama yang menyentuh sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat.

"Perkara ini, jika tidak ditangani dengan diteliti, akan membawa akibat buruk kepada negeri ini," titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-13, di Wisma Darul Iman hari ini.

Sultan Mizan juga menyeru pimpinan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said agar mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan, termasuk aspek pelaksanaan projek dan program. Titah baginda projek yang kurang efektif dan tidak memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh perlu dielak dan kerajaan perlu mengawal perbelanjaan dengan mengekalkan konsep berhemah.

"Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin sektor swasta, dan NGO serta semua golongan masyarakat perlu mengeratkan hubungan antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik dan bekerjasama untuk mengharungi cabaran yang bakal ditempuhi kelak.

"Bagi rakyat negeri ini pula, beta suka mengingatkan mereka agar turut menjalani kehidupan secara sederhana dan membuat perbelanjaan bijaksana untuk menjana ekonomi yang mapan dan berdaya saing," titah baginda.

No comments:

Post a Comment