Saturday, June 15, 2013

Terengganu Beri Amaran Tarik Pinjaman Pelajar Cetus Masalah

Kerajaan negeri Terengganu tidak akan teragak-agak menarik balik pemberian biasiswa atau pinjaman kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi tajaan Yayasan Terengganu (YT) sekiranya mereka menyalahgunakan media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata pihaknya akan memantau media sosial milik pelajar tajaan YT, bagi mengelak kejadian melampau seperti menghina Nabi, Islam, Institusi Raja dan Lagu Negaraku.

"Kita memandang serius perkara seperti ini kerana ia mencerminkan keperibadian pelajar terbabit yang akan menjadi pemimpin negara di masa depan," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu, kelmarin. 

Pemantauan itu penting berikutan turutan kes menghina Nabi, agama Islam dan Yang Di-pertuan Agong sejak akhir-akhir ini, melalui laman media sosial. Ghazali berkata langkah itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu pelajar tajaannya hanya fokus terhadap pelajaran dan tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.

"Bagaimanapun, sekiranya berlaku, yayasan akan menyiasat secara terperinci mengenai karakter dan masalah pelajar sebelum hukuman dikenakan.

"Jika ia hanya melibatkan kesalahan kecil, pasti kita hanya akan beri amaran, namun jika ia kesalahan yang melampaui batas, yayasan tidak teragak-agak membatalkan tajaan," katanya.

 Untuk rekod, seorang pelajar IPT di negeri ini pernah mencetuskan provokasi dengan mengubah lirik Lagu Negaraku di Facebook pada tahun lepas.

No comments:

Post a Comment