Saturday, June 8, 2013
Terengganu Pertimbang Tambah Menara Tinjau Di Pulau Peranginan
Kerajaan negeri Terengganu mempertimbang untuk menambah menara tinjau di pulau peranginan di negeri itu dalam usaha menjaga keselamatan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata menara tinjau itu akan memudahkan tugas memantau persekitaran, sekali gus lebih menjamin keselamatan pelancong.
"Kita telah berbincang dengan beberapa agensi yang terlibat bagi merealisasikan impian itu.
Wujudnya menara sedemikian diharap dapat memberi tindakan awal kepada para pelancong serta melihat pergerakan bot dan mengesan lebih awal jika berlaku sebarang bencana.
"Setakat ini kita mempunyai dua menara masing-masing di Pulau Redang dan Pulau Perhentian dan mungkin kita akan menambah beberapa lagi menara di pulau itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di pulau-pulau negeri ini.
Selain itu Mohd Jidin turut menggalakkan pengusaha resort di Terengganu menempatkan pengawal keselamatan di kawasan peranginan mereka.
"Pengawal keselamatan itu haruslah terlatih untuk mengawal keselamatan pengunjung yang terutamanya suka mandi di sekitar pesisir pantai," katanya.
Mohd Jidin berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Taman Laut Malaysia Terengganu dan beberapa agensi lain bagi mewujudkan satu lokasi untuk bot-bot berlabuh.
Katanya lokasi itu akan diasingkan daripada kawasan tempat mandi dan aktiviti snorkel bagi mengelakkan kejadian tidak diingin.
"Sekarang ini, kita boleh lihat bot-bot yang membawa pelancong ini tidak berlabuh di tempat yang khusus.
Mereka meletakkan bot berhampiran jeti resort dan di situ jugalah pelancong melakukan aktiviti selaman atau mandi yang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya," katanya.
No comments:
Post a Comment