Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memperkenalkan Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global untuk memperkasa komunikasi Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Buat permulaan, program perintis itu akan melibatkan 13 buah sekolah di sekitar daerah ini untuk tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember depan dengan seramai enam orang pensyarah mengendalikan 260 orang pelajar tingkatan empat.
Melalui program yang diilhamkan oleh pensyarah Bahasa Inggeris, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor yang juga Pengarah Penerbit UMT, pelbagai medium pengajaran dan pembelajaran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan kaedah yang santai dan menarik akan diterapkan.
Menurut Dr. Noraien, program dirancang untuk menyahut idea Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang mencadangkan agar program transformasi ilmu antara universiti dan sekolah direalisasikan untuk memperkasa kemahiran berkomunikasi.
''UMT amat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi ruang dan kepercayaan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab universiti kepada komuniti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau menyifatkan penganjuran program itu merupakan salah satu langkah pemindahan ilmu daripada pihak universiti kepada masyarakat setempat khususnya kalangan pelajar dengan fokus pada kemahiran berkomunikasi, mendengar, membaca dan menulis di samping berfikir secara kritis.
''Secara tidak langsung program ini akan menjadi pemangkin kepada usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bermula di peringkat sekolah menengah dengan mempertingkatkan keyakinan diri mereka," ujarnya.
Katanya, jika dapat memperlihatkan keberkesanan, pihaknya berharap program itu akan diserapkan menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan negara yang bakal diperluaskan ke seluruh institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah menengah di seluruh negara.
''Malah program ini kelak boleh diperluaskan pelaksanaannya dengan melibatkan sekolah-sekolah menengah terpilih di luar negara sebagai sekolah angkat, seperti di United Kingdom melalui pemeteraian memorandum persefahaman di peringkat global.
''Perluasan rangkaian di peringkat global akan memberi ruang komunikasi berbahasa antara pelajar tempatan dan antarabangsa," ujarnya.
No comments:
Post a Comment