Friday, June 7, 2013

WWF Mohon Kerajaan Negeri Wartakan Tanah Bencah Setiu Demi Memelihara Ekosistem


Tabung Alam Malaysia (WWF) meminta kerajaan negeri meningkatkan perlindungan terhadap kawasan tanah bencah di Setiu dengan mewartakannya sebagai taman negeri yang pertama di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF Datuk Dr Dionysius Sharma berkata Tanah Bencah Setiu atau juga dikenali Setiu Wetlands mempunyai potensi sebagai destinasi eko-pelancongan yang mampu menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

"Ia kaya dengan sumber mineral tanah bencah yang menawarkan pusat kajian untuk para penyelidik," katanya pada majlis pelancaran video Tanah Bencah Setiu Permata Alam peringkat negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata dalam jangka panjang, secara keseluruhannya kerajaan negeri akan mendapat keuntungan dari segi perkhidmatan ekosistem yang berterusan untuk kesejahteraan rakyat.

Selain itu ia mendatangkan manfaat ekonomi terutamanya dari industri eko-pelancongan termasuk Industri Kecil dan Sederhana yang boleh menyumbang kepada pendapatan negeri, katanya.

Tanah Bencah Setiu mempunyai pelbagai ciri semula jadi yang terdiri daripada ekosistem air tawar, air payau dan air laut termasuk habitat yang unik seperti hutan gelam dan laguna sepanjang 14km yang mengunjur selari dengan pesisir pantai.

Di situ juga merupakan habitat kepada populasi terakhir tuntung laut (batagur borneoensis) yang sangat terancam di dunia dan menyediakan tempat perlindungan kepada hidupan liar lain termasuk 29 spesies mamalia, 161 spesies burung dan 36 spesies reptilia.

"Kehidupan di sini bergantung kepada sumber yang terdapat di Tanah Bencah Setiu. Contohnya, pendapatan ekonomi yang diperoleh penduduk setempat yang terlibat dalam industri perikanan, pembuatan bot dan pemprosesan makanan berasaskan ikan," katanya.

Dr Dionysius berkata beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan dalam penggunaan dan pengurangan keluasan tanah serta kemusnahan habitat Tanah Bencah Setiu menunjukkan paras bahaya.

Kajian perubahan litupan bumi di Tanah Bencah Setiu yang dijalankan oleh WWF-Malaysia menunjukkan 30 peratus daripada kawasan paya dan bakau dibersihkan dan ditebus guna sepanjang tahun 2008 hingga 2011.

Malah jelasnya, berdasarkan penemuan awal daripada kajian terkini yang dijalankan oleh WWF-Malaysia bertajuk 'Nilai Ekonomi Ekosistem Tanah Bencah Setiu', 77 peratus daripada 200 penduduk daerah Setiu bersetuju Tanah Bencah Setiu mempunyai nilai ekonomi dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

"Ini merupakan masa yang paling sesuai untuk melindungi tanah bencah dan tindakan serius perlu diambil dalam mencapai objektif ini.

Dengan demikian, kita akan dapat memastikan Tanah Bencah Setiu akan terus kekal agar semua pihak dapat memperoleh manfaat daripadanya," katanya.

Katanya ancaman terhadap kawasan itu didapati semakin meningkat dan ini boleh menjejaskan keupayaan tanah bencah untuk terus memberikan khidmat dan produk dari segi ekologi, sosial dan ekonomi.

No comments:

Post a Comment