Sunday, June 16, 2013

Yang Dipertua DUN Terengganu Diketahui Hari Ini, Akhiri Spekulasi

Imbas kembali...Sultan Terengganu perkenan merasmikan persidangan DUN tahun lalu.
Secara rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan hari ini apabila beliau akan mengangkat sumpah pagi ini.

Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN dijadualkan bermula jam 9.30 pagi ini.

Pengumuman rasmi mengenai pelantikan jawatan tersebut akan dibuat oleh Menteri Besar bagi pihak kerajaan negeri akan menamatkan spekulasi.

Spekulasi berkisar beberapa nama, termasuk Datuk Zuber Embong , bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong, calon Barisan Nasional (BN) yang kalah pada pilihan raya umum 5 Mei lalu serta juga bekas Exco  dan calon BN Perlimen Marang yang tewas, Datuk Yahya Khatib Mohamad.

Malah ada yang menyebut calon BN Ladang yang tewas, Datuk Wan Farid Wan Salleh serta Datuk Che Mat Jusoh yang pernah menjadi Speaker DUN sebelum ini.


Majlis akan berlangsung di Tingkat U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai speaker DUN Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-12.

Beliau meletakkan jawatan untuk bertanding di kerusi DUN Kuala Berang pada PRU13 dan menang. Beliau kini adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Hari ini secara rasmi bermulalah Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ketiga Belas.

 Majlis pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah ADUN adalah acara pertama Sidang DUN kali ini.

Melalui pekeliling Setiausaha DUN, Haji Azhar Jusoh, yang diedarkan kepada semua ketua-ketua jabatan agensi negeri menyebut pada hari pertama akan berlangsung Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi.

Pada hari kedua, akan berlangsung pula Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN ke-13 oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada Selasa, sidang akan berlangsung dengan soalan lisan selama sejam diikuti dengan perbahasan Titah Sultan Terengganu.

Beliau berkata, pada hari ketiga dan keempat sidang DUN akan diadakan bermula jam 9.30 pagi. Bagi DUN penggal ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 ahli DUN manakala pembangkang 15 ahli.

No comments:

Post a Comment