Sunday, June 16, 2013

Persiapan Sukma Kuala Lumpur Berjalan Lancar

Persiapan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai ini berjalan lancar, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Kini kita hanya akan membuat pemeriksaan terakhir di semua venue pertandingan. Sebahagian daripada pegawai kita (MSN) juga sudah berada di venue untuk memastikan semuanya berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan barangan cenderahati Sukma 2013, serta memperkenalkan pingat dan mengumumkan hos penyiar temasya sukan berkenaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Arena.

Menurut beliau aktiviti promosi mengenai temasya sukan berkenaan juga giat dilaksanakan.

 "Kita sudah boleh tengok banyak kain rentang telah dinaikkan di lokasi-lokasi berhampiran venue dan juga sekitar ibu negara dan Putrajaya," katanya.

Menyentuh mengenai venue Sukma 2013, Zolkples berkata venue untuk acara sukan mendayung yang pada awalnya di Kompleks Sukan Air Presint 6 di Putrajaya telah dipindahkan ke Empangan Batu, Ulu Yam dekat sini.

 "Vanue acara mendayung terpaksa ditukar kerana di Putrajaya tidak mempunyai cukup peralatan. Jika kita mengangkut peralatan tambahan dari Empangan Batu (pusat latihan sukan mendayung) akan melibatkan kos," katanya.

Temasya Sukma 2013 akan diadakan di 18 buah venue sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Morib, Puchong dan Shah Alam.

 Mengenai isu velodrom untuk temasya Sukma Perlis pada 2014, Zolkples berkata pada mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan wakil kerajaan negeri Perlis telah memutuskan supaya velodrom mini itu tidak dibina.

"Keputusan itu dibuat atas beberapa faktor termasuk kewangan. Pihak Perbendaharaan mendapati banyak peruntukan kewangan telah lebih digunakan untuk menyediakan beberapa venue baharu untuk Sukma Perlis.

"Acara berbasikal trek dilihat lebih baik dijalankan di atas jalan raya sepertimana dijalankan semasa Sukma di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu sebelum ini," katanya.

Untuk itu, katanya, pihak penganjur Sukma Perlis mempunyai banyak masa untuk mencari tempat dan laluan yang sesuai untuk digunakan.

Dalam perkembangan lain, Zolkples turut mengalu-alukan pemilihan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz untuk menerajui semula Institut Sukan Negara (ISN) dan Ahmad Shapawi Ismail sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

"Saya menyambut baik pengumuman ini kerana kedua-dua mereka mempunyai kreadibiliti dan mampu memimpin kedua-dua organisasi ini," katanya.

No comments:

Post a Comment