Sunday, July 14, 2013

100 Anggota JHEAT Pantau Kaki Ponteng Puasa

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mempergiat operasi membanteras individu tidak berpuasa daripada makan secara terbuka di restoran atau gerai makanan di seluruh negeri ini. 

Pesuruhjayanya, Datuk Mohd. Rozali Saleh berkata, kira-kira 100 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan memantau kegiatan tersebut di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi golongan itu.

Katanya, biarpun tiada rekod dilaporkan tahun lalu, namun JHEAT tetap mengambil serius perkara itu yang nyata memalukan umat Islam dan tidak menghormati bulan mulia berkenaan.

"Kita telah kenal pasti kawasan dan tempat yang pada kebiasaannya menjadi lokasi mereka berkumpul dan makan, selain itu kita juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan ini melaporkan perkara terbabit kepada JHEAT.

"Mana-mana individu yang ditahan akan dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika didapati bersalah makan di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau menambah, meskipun sukar mengesan kegiatan kaki ponteng puasa ekoran serbuan yang dijalankan sering diketahui individu terlibat namun pihaknya tetap membuat pemantauan supaya perbuatan itu tidak berleluasa.

Jelasnya, tahun lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai namun tiada kes dirujuk kepada mahkamah.

"Memang sukar menahan mereka yang tidak berpuasa kerana aduan individu membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau di tempat terbuka seperti di restoran atau tepi pantai, baru boleh kita tahan.

"Tahun lalu, kita dapat kesan ada yang makan di kawasan kubur bagi mengelak dikesan, namun ketika kita membuat serbuan mereka sempat melarikan diri," ujarnya..

Utusan Online

No comments:

Post a Comment