Sunday, July 14, 2013

2 NGO Lapor Polis Pasangan Persenda Ramadan


Dua NGO semalam membuat laporan polis berhubung tindakan dua bekas penuntut National University of Singapore mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Pengerusi Usahanita Cawangan Kulaijaya Mazanah Mohammad Zain dan Timbalan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Tanjung Puteri Fauziah Abdullah membuat laporan berkenaan di Balai Polis Tampoi, di Johor Bahru.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan, Mazanah, 56, menyifatkan perbuatan pasangan itu sebagai menghina kesucian Islam dan tidak wajar dilakukan atas dasar menghormati masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Saya menerima satu sistem pesanan multimedia (MMS) mengenainya pada pukul 9.30 pagi ini ketika berada di rumah. "Saya berasa sangat marah kerana perbuatan ini mempersendakan agama Islam dan sehubungan itu saya mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Sebelum ini, pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke blog.

No comments:

Post a Comment