Friday, July 5, 2013

100 Guru ETA Fullbright Mengajar Bahasa Inggeris Tahun Depan - Duta Amerika Syarikat

Seramai 100 graduan muda dari Universiti Amerika Syarikat (AS) akan menyertai program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright di negara ini, tahun depan.

Duta Besar AS ke Malaysia,
Datuk Paul W. Jones berkata program pada 2014 itu akan melibatkan penambahan satu negeri baharu, namun ia masih belum diputuskan Kerajaan Malaysia.

Ketika ini, guru-guru Amerika ditempatkan di sekolah-sekolah di Johor, Terengganu, Pahang dan Perak.
"Tahun ini, 75 graduan muda dari universiti Amerika Syarikat sedang menikmati layanan baik rakyat Malaysia, makanan dan budaya ketika mereka membantu mengajar Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara.

"Tahun depan, 100 orang akan mengikuti jejak mereka. Program ini berkembang pesat dan mencapai kejayaan luar biasa bukan sahaja hubungan antara insan malah kepada ramai pelajar yang boleh berlatih Bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita pada majlis resepsi 4 Julai sempena Hari Kemerdekaan AS, di Kuala Lumur, semalam.

Jones berkata, ramai pelajar di sekolah yang mengambil bahagian dalam program tersebut berjaya meningkat kemahiran bahasa Inggeris mereka dan memahami perbendaharaan kata serta tatabahasa. Program ETA Fulbright yang bermula tahun lalu, merupakan inisiatif antara kerajaan Malaysia dan AS bagi menyokong pendidikan bahasa Inggeris di negara ini.

Mengenai isu visa, Jones berkata kedutaan AS kini meluluskan 95 peratus permohonan visa kepada rakyat Malaysia yang boleh diperoleh sehari selepas permohonan dibuat

 Jones juga berkata, tempoh perkhidmatan beliau akan berakhir tahun ini dan beliau merasa bangga dapat mewakili AS di Malaysia, selama tiga tahun.

Beliau berkata, ia merupakan satu keistimewaan memandangkan kedua-dua negara menikmati pertumbuhan dalam hubungan dua hala yang diilhamkan melalui wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama.

"Kita akan merindui begitu ramai rakan-rakan yang hebat, tempat istimewa dan semestinya makanan yang lazat. Kami terharu dan berterima kasih terhadap rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat di setiap tempat di negara yang indah ini," katanya.

Jones berkata, Kedutaan AS akan diketuai timbalanya, Lee McClenny, yang berkhidmat sebagai Kuasa Usaha sehingga penggantinya tiba.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang hadir pada majlis itu berkata kerajaan Malaysia menghargai perkhidmatan cemerlang Jones.

 "Saya amat menghargai usaha dan perjuangan Datuk yang telah mengangkat hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya sebagai membalas ucapan ringkas Jones.

No comments:

Post a Comment