Sunday, July 28, 2013

26 Peniaga Dikompaun, Barangan Bernilai Lebih RM11,300 Dirampas Di Terengganu

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Terengganu mengeluarkan kompaun kepada 26 peniaga dan merampas barangan bernilai RM11,381.90 menerusi 'Ops Harga' yang dilancar 6 Julai lepas.

Pengarahnya Syamsul Badrin Mohsin berkata kesemua peniaga terbabit juga dikenakan kompaun RM100 atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempamer tanda harga dan tanda harga mengelirukan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes dikesan di Kuala Terengganu, tujuh di Kemaman dan lima di Besut. 

"Kesemua peniaga telah membayar kompaun serta-merta dan diberi amaran agar tidak mengulangi kesalahan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasaraya Tunas Manja di Kemaman, kelmarin.

Seramai 81 pegawai penguatkuasa dan 73 pemantau harga PDNKK sentiasa melakukan pemeriksaan di pasar dan Bazar Ramadan seluruh Terengganu.

Mengulas mengenai skim kawalan harga itu, Syamsul Badrin berkata sebanyak 20 barangan disenaraikan namun, di Terengganu hanya melibatkan 19 barang, tanpa daging lembu import.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan, boleh dihukum maksimum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikompaun sehingga RM50,000.

 Justeru beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika terdapat terdapat peniaga yang gagal mematuhi skim kawalan harga ini dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.

No comments:

Post a Comment