Tabung Haji (TH) menyediakan peruntukan sebanyak RM122,000 sebagai sumbangan Zakat Projek Ehsan TH peringkat negeri Terengganu tahun ini.
Pengarah TH Negeri Terengganu Mohammad@Mokhzani Mukhtar berkata sumbangan itu bertujuan membantu golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya menyambut Hari Raya tidak lama lagi.
"Program itu juga menjadi platform kepada TH untuk mendekati dan mengeratkan ikatan silaturahim," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Zakat Projek Ehsan TH Terengganu kepada 244 penerima dari sembilan mukim di Terengganu yang masing-masing menerima RM500 seorang.
Mokhzani berkata Program Ehsan anjuran TH itu diadakan di seluruh negara pada setiap kali Ramadan dan pada tahun ini TH menyasarkan agihan sebanyak RM1.6 juta kepada lebih 3,000 golongan asnaf di seluruh negara.
Beliau berkata selain program itu TH turut melaksanakan beberapa program lain seperti Program Iqra yang memberi sumbangan barangan keperluan sekolah sebagai motivasi kepada pelajar miskin termasuk anak yatim.
"Program Baiti pula ialah untuk membaik pulih atau membina rumah yang lebih selesa untuk golongan fakir miskin dan program Afiat ialah untuk menyalurkan bantuan kesihatan kepada hospital-hospital dan pesakit kronik yang memerlukan di seluruh negara," katanya.
Seorang warga emas Yusof Hitam, 66, dari Kampung Pasir Nering dekat sini yang menerima sumbangan zakat itu berkata agihan duit itu bagaikan memberi nafas baharu kepadanya.
Yusof yang bekerja mengambil upah memotong getah dengan pendapatan tidak menentu, berkata agihan zakat itu amat dihargai dan dapat menampung perbelanjaan harian keluarga serta menghadapi Hari Raya.
"Usia yang semakin meningkat, sukar bagi saya untuk bekerja lebih untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Dengan sumbangan TH sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga," katanya.
Mokhtar Mohamad, 53, dari Kampung Dusun pula gembira kerana agihan wang zakat dari TH itu dapat membantunya menyara keluarga dengan enam orang anak.
"Sebelum ini saya tidak menerima sebarang bantuan dan tidak tahu di mana nak cari duit untuk menghadapi Hari Raya tidak lama lagi. Hari ini saya bersyukur dan berterima kasih atas agihan itu," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
No comments:
Post a Comment