Thursday, July 25, 2013

Bapa Tengku Zaihan Yakin Anaknya Mampu Galas Tanggungjawab Sebagai Wakil Rakyat


Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 74, yakin anaknya, Tengku Zaihan, mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang diamanah pengundi di Kuala Besut.

Beliau berkata Tengku Zaihan mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin, bukan sahaja dalam keluarga, malah kepada masyarakat setempat.

"Dalam keluarga, dia suka membantu dan saya yakin dia dapat membela rakyat di Kuala Besut ini," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kemenangan anaknya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut malam semalam.

Keputusan rasmi pilihan raya itu diumum Pegawai Pengurus PRK berkenaan A. Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh dekat sini.

Che Ku Abd Rahman berkata sebaik mengetahui anaknya menjadi calon, beliau bersama isteri memberi restu dan yakin Tengku Zaihan mampu memperoleh kemenangan cemerlang pada PRK itu.

BN kekal mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut apabila Tengku Zaihan, mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi. Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan meraih 5,696 undi. Seramai 14,108 atau 80 peratus daripada 17,683 pengundi berdaftar keluar mengundi manakala undi rosak ialah 125.

Dengan kemenangan itu, BN mengukuhkan kembali kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 sebagaimana yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas.

Tengku Zaihan merupakan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya dan sebelum itu, beliau pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

No comments:

Post a Comment