Bernama semalam menafikan telah mengeluarkan berita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian bonus raya kepada kakitangan awam yang kononnya disiarkan melalui portal berita www.bernama.com.
Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong berkata, beliau percaya ada usaha pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan dengan menggunakan Bernama ketika pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berlangsung semalam.
"Bernama sering dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imej kerajaan memandangkan agensi berita nasional ini terkenal dengan kewibawaan dan kesahihan berita yang dikeluarkannya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur dimaklumkan mengenai berita palsu itu yang disebarkan melalui laman sosial Facebook oleh wartawannya yang membuat liputan pilihan raya kecil berkenaan.
Berita palsu dua perenggan itu turut diselitkan gambar Perdana Menteri yang kononnya sedang bercakap pada sidang akhbar di Kuala Besut.
Yong berkata ada kemungkinan ia hasil manipulasi menggunakan teknik screenshot dan aplikasi Photoshop.
No comments:
Post a Comment