Thursday, July 25, 2013

BN kekal kemenangan di Titiwangsa, PKR Kekal Di Batu

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Parlimen Titiwangsa selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail seorang pengundi untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan itu.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas mendapati petisyen yang difail Rusli Yasmin cacat kerana tidak mematuhi Perintah 4 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata demikian selepas membenarkan bantahan awal Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi Titiwangsa Abdul Halim Ismail, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Johari Abdul Ghani.

Zabariah juga memutuskan bahawa Rusli gagal mengemukakan fakta bagi menyokong dakwaan ketidakpatuhan yang menjejas keputusan pilihan raya itu seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 32(a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau memerintahkan Rusli membayar RM40,000 kepada RO dan SPR serta RM30,000 kepada Johari. 

Dalam penghakiman lapan muka surat, hakim itu turut memutuskan bahawa aduan pempetisyen bahawa dakwat yang diguna pada jari pengundi pada pilihan raya umum berkenaan mudah dicuci tidak boleh dijadikan fakta bagi menyokong ketidakpatuhan mana-mana undang-undang bertulis.

"Tidak ada kaitan hubungan atau kaitan antara fakta yang dinyatakan dalam petisyen itu dengan peraturan yang dirujuk pempetisyen yang responden dikatakan gagal patuhi," katanya.

Pada PRU13, Johari menewaskan calon PAS Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi. 

Zabariah turut membatalkan petisyen pilihan raya yang difail calon BN Dominic Lau Hoe Chai bagi kerusi Parlimen Batu atas alasan sama.

Beliau memerintahkan Lau membayar RM50,000 sebagai kos kepada anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau Tian Chua. Lau menamakan Tian Chua, RO Mustafa Mohd Nor dan SPR sebagai responden. 

Zabariah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Tian Chua dan dalam penghakimannya, beliau berkata petisyen berkenaan tidak difail oleh pempetisyen atau peguam yang dilantik pempetisyen, dan ini bercanggah dengan Perintah 9 serta 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen pilihan raya.

Pada PRU13, Tian Chua menewaskan Lau dengan majoriti 13,284 undi.


No comments:

Post a Comment