Friday, July 19, 2013

BN Diharap Bantu Nasib Penjual Kuih Tradisional


Penjual kuih 'akok', sejenis kuih tradisional yang terkenal di Pantai Timur, berharap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dapat membantu memajukan industri makanan tradisional itu di Terengganu.

Che Rokiah Che Mat, 64, pengusaha 'Akok Kak Long' di Kampung Pengkalan Atap di sini, yakin BN akan mengekalkan kerusi Kuala Besut yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-13, Mei lalu.

Beliau berkata kemenangan dalam pilihan raya kecil pada 24 Julai ini akan memberi peluang kepada kerajaan BN untuk membantu golongan pembuat kuih tradisional itu, misalnya memberi bantuan berupa peralatan dan perkakas memasak.

Che Rokiah memberitahu Bernama demikian selepas menerima kunjungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di kedainya sempena program lawatan calon berkenaan bertemu pengundi di kampung itu.

Akok resipi warisan keluarga yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun itu sangat digemari penduduk sekitar disebabkan rasanya enak kerana dibakar menggunakan sabut kelapa dan tidak menggunakan dapur gas atau ketuhar.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru. Tengku Zaihan akan dicabar calon PAS Endot @ Azlan Yusof dalam PRK itu.

Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk dan daripada jumlah itu, 17,683 adalah pengundi berdaftar meliputi 17,463 pengundi Melayu, 125 Cina manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.

No comments:

Post a Comment