Monday, July 22, 2013

BN Tumpu Bawa Pengundi Luar Kawasan Pulang Mengundi - Idris Jusoh


Barisan Nasional (BN) kini memasuki pusingan akhir kempen dengan tumpuan diberikan kepada persiapan bagi membawa pengundi dari luar kawasan balik mengundi, kata Timbalan Pengarah pilihan raya kecil BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya BN juga sedang mempersiapkan jentera untuk menyediakan kenderaan khusus bagi digunakan untuk mengangkut pengundi keluar mengundi pada 24 Julai nanti.

"Kempen kita sudah berjalan dengan baik dan tidak banyak usaha tambahan perlu dilakukan kecuali persiapan membawa pengundi luar balik mengundi Rabu ini," katanya ketika ditanya tentang 'usaha tambahan' dilakukan BN sebelum tempoh kempen berakhir empat hari lagi, di Kuala Besut, semalam.

Ketua Umno Bahagian Besut itu berkata jentera kempen bergerak dengan cukup tersusun, malah calon juga telah memasuki semua kawasan mengundi dan menemui hampir setiap pengundi dalam kawasan itu.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi iaitu sebanyak 93.33 peratus adalah pengundi biasa, 6.67 peratus melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara. 

Idris, yang juga Menteri Pendidikan Kedua, berkata pemerhatian terhadap penerimaan masyarakat terhadap calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman atau lebih mesra dengan panggilan 'Abe Ku' juga semakin baik.

"Dulu ada tuduhan mengatakan beliau orang luar tetapi setelah terbukti Abe Ku adalah anak tempatan dan anak seorang ustaz, tahap penerimaan masyarakat terhadap beliau terus memuncak, malah ramai yang mula bersalam dan mengerumuninya, sekali gus menyerlahkan auranya sebagai seorang calon," katanya.


No comments:

Post a Comment