Monday, July 22, 2013

Perkhidmatan Pos Pulau Perhentian Dipertingkat

Lebih 2,000 penduduk Pulau Perhentian yang kini tidak mendapat perkhidmatan pos yang sempurna, boleh menarik nafas lega apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang berkunjung ke pulau itu semalam berjanji akan mempertingkatkan kemudahan itu dalam masa terdekat. 

Jailani turut mencadangkan supaya diwujudkan semula Pos Mini di pulau itu yang telah beroperasi sejak 2008 tetapi dihentikan sementara perkidmatannya sejak empat bulan lepas kerana pengusaha yang dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan itu menghadapi masalah ketiadaan pekerja.

Urusan Pos di Pulau Perhentian kini dikendalikan oleh Mohd A. Hamid, Wakil Pos yang dilantik oleh Pos Malaysia.

Jailani berkata surat-surat yang dialamatkan kepada penduduk pulau itu hanya ditinggalkan di dalam dua buah 'tray' terbuka di sebuah premis kedai menyebabkan surat-surat itu terdedah kepada bahaya dicuri atau surat-surat penting tidak sampai ke tangan penerimanya dengan segera.

Menurutnya Wakil Pos berkenaan tidak bertanggungjawab untuk menghantar surat ke rumah penerimanya tambahan pula rumah-rumah penduduk di pulau ini tidak mempunyai nombor menyebabkan surat sukar dihantar ke alamat yang tetap.

Jailani berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dengan penduduk Pulau Perhentian sempena program Kenali Jiran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Bagi mengatasi masalah itu beliau akan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya berbincang dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung supaya menetapkan nombor rumah bagi kira-kira 200 buah rumah penduduk di pulau ini untuk memudahkan surat dihantar ke rumah mereka.

Selain mengaktifkan semula Pos Mini, Jailani turut mencadangkan Pos Malaysia supaya mewujudkan Posmen Komuniti di Pulau Perhentian supaya urusan penghantaran surat ke rumah-rumah dapat dilaksanakan segera.

Sementara itu, Pengurus Jualan dan Perkhidmatan Pos Malaysia Terengganu Khairul Nizam Che Nik berkata Pos Mini telah diwujudkan di pulau ini sejak 2008 di bawah seorang pengusaha tetapi pengusaha berkenaan menutup sementara perkhidmatannya kerana masalah ketiadaan pekerja.

 Katanya pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh Pos Mini seperti kidmat bayaran kepada pelbagai agensi, kiriman wang dan jualan setem.

Wakil Pos Pulau Perhentian Mohd A. Hamid berkata walaupun bukan menjadi tanggungjawab beliau untuk menghantar surat kepada penerima tetapi beliau pernah menghantar sepucuk surat yang di dalamnya mengandungi cek bernilai RM8,000 kepada penerimanya kerana takut cek itu hilang.

No comments:

Post a Comment