Friday, July 5, 2013

Bola Sepak Pantai - Naib Juara Untuk Lelaki, Juara Untuk Wanita Terengganu


Pahang muncul juara sulung acara bola sepak pantai lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2013 apabila menewaskan Terengganu 6-0 pada aksi final di Pantai Morib, Banting, Selangor semalam.

Latihan 'ala Samba' selama sebulan bersama jurulatih kelab Brazil, Flamengo, Julio Cesar Franco ternyata menjadi senjata ampuh Pahang bagi menjinakkan Terengganu.

"Saya rasa begitu gembira kerana pemain-pemain telah mempamerkan kesungguhan mereka untuk menjadi juara.
"Di Brazil kami bermain dengan formasi 3-1 tetapi di sini lebih kepada 2-2.

Walaupun baru sebulan bersama tetapi saya kagum kerana mereka cepat belajar dengan teknik Brazil," ujar Franco.

Difahamkan, jurulatih berusia 39 tahun itu dibawa oleh pengurus pasukan Pahang, Kamarul Arifin atas cadangan jurulatih skuad futsal kebangsaan, Marcelo Serpa sejak 5 Jun lalu.

Pingat gangsa pula diraih oleh Selangor yang menewaskan Kedah 8-6 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Terengganu mengungguli pingat emas acara bola sepak pantai wanita selepas melakar kemenangan dramatik 6-5 ke atas Sabah pada aksi final.

Percaturan jurulatih Terengganu, Abdul Jalal Abdul Wahid yang menggunakan khidmat dua pemain hoki, Aishah Zulkifli dan Nor Hazirah Hasmidi ternyata menambah kekuatan skuad kendaliannya itu. Abdul Jalal berkata, kesukaran untuk mencari pemain yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi telah memaksanya untuk memilih kedua-dua pemain terbabit.

"Memang sukar hendak mencari pemain yang bagus, saya bernasib baik kerana dapat menggunakan khidmat mereka. "Jadi cabaran yang saya perlu hadapi ketika latihan ialah melatih cara menendang dan mengawal bola," kata Abdul Jalal.

Tiada pingat gangsa ditawarkan kerana hanya empat pasukan yang menyertai acara bola sepak pantai wanita.

No comments:

Post a Comment