ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI), sebuah anak syarikat Exxon Mobil Corporation, bersama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd telah berjaya menyiapkan pembinaan dan pengalihan jaket pelantarnya bagi projek Perolehan Minyak Tertingkat (EOR) di rantau ini.
Jaket lapan kaki itu yang merupakan sebuah struktur keluli yang tinggi yang dibina timbul dari laut untuk menyokong dek permukaan, kini sudah sedia untuk dipasang di medan minyak Tapis, yang terletak kira-kira 200 kilometer di luar pantai Terengganu.
"Jaket seberat 5,500 tan metrik itu ialah struktur sampingan bagi kemudahan pemprosesan pusat utama projek EOR. Jaket yang dibina di Lumut itu adalah yang terberat pernah kami pasang di Malaysia," kata Eksekutif Projek Douglas C. Smith, kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif.
Di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran bagi Tapis, Petronas Carigali dan ExxonMobil masing-masing mempunyai kepentingan sebanyak 50 peratus.
Smith berkata jaket setinggi 70 meter dari dasar laut itu dibuat sepenuhnya di Malaysia oleh SapuraKencana Petroleum Bhd, yang diberikan kontrak itu pada Januari 2012.
Ia akan menyangga dek bersepadu yang dianggarkan seberat 18,000 tan metrik dengan ruang bagi pemampatan gas, rawatan air dan kemudahan penyuntikan, kelengkapan pengeluaran-pemprosesan, sistem utiliti dan kuarters kediaman bagi 145 pekerja.
Pembinaan jaket itu bermula pada April 2012 dan siap pada Mac 2013.
"Kami bukan sahaja berbangga dengan pencapaian itu malah juga berbangga dengan cara kami mencapainya.
Struktur itu dibina dengan keputusan keselamatan luar biasa tanpa kejadian yang merugikan masa walaupun tenaga kerja dan masa yang banyak diperlukan," kata Smith.
Beliau berkata jaket itu mengambil masa selama lebih 800,000 jam kerja untuk disiapkan, dan melibatkan lebih 600 pekerja dalam tempoh puncak kerja-kerja membina itu.
EMEPMI bekerjasama dengan kontraktor dan firma fabrikasi Malaysia bagi projek EOR itu, dan dengan demikian menyumbang kepada usaha membina keupayaan tempatan dan membawa masuk teknologi baharu ke negara ini, tegas beliau.
ExxonMobil dan PETRONAS telah memperuntukkan RM10 bilion bagi kegiatan utama projek EOR, pemulihan kemudahan dan pembangunan selanjutnya serta kegiatan-kegiatan penggerudian di Tapis dan enam medan lain untuk memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan lestari bagi Malaysia.
Projek mega itu adalah satu daripada beberapa pelaburan minyak dan gas yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi pada 2011.
Projek EOR Tapis akan menjadi peristiwa bersejarah bagi EMEPMI dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd kerana ia bukan sahaja merupakan projek EOR bersekala besar pertama Malaysia, malah juga satu daripada projek perolehan minyak tertingkat luar pantai terbesar di Asia Tenggara.
Sejak pengeluaran dari medan Tapis bermula pada 1978, kira-kira 400 juta tong minyak telah dihasilkan.
Teknik perolehan tertingkat yang baru dimulakan dengan menggunakan suntikan WAG (gas seli air) dijangka menambah baik perolehan minyak dari medan itu selama sekurang-kurangnya 30 tahun lagi.
Sementara itu, Ketua Program EOR Petronas, Dr. Nasir Darman, berkata EOR akan memberi nafas baharu bagi medan-medan lama.
Kata beliau usaha ini adalah sejajar dengan tumpuan kepada sektor minyak, gas dan tenaga sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara.
Nasir berkata pada masa ini Malaysia mempunyai 12 medan matang yang disasarkan bagi EOR, dan medan Tapis menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini mempunyai keupayaan, teknologi dan pengetahuan EOR luar pantai.
"Ini keupayaan istimewa kita dan kita selangkah ke hadapan dari pesaing-pesaing kita. Justeru itu, peristiwa ini penting kerana ia meletakkan kita selangkah lebih hampir ke arah mencapai cita-cita kita untuk menjadikan Malaysia sebuah hab bagi EOR," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment