Wednesday, July 17, 2013

Dua Sindiket Dadah, Antara Terbesar Di Kelantan, Tumpas


Polis Kelantan menumpaskan dua sindiket dadah, antara yang terbesar di negeri ini, dengan tertangkapnya lapan lelaki termasuk seorang pelajar dalam tiga serbuan di Tanah Merah dan Gua Musang, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 235 biji pil jenis Eramin 5, 50 botol heroin, 37 biji pil kuda dan satu tiub straw mengandungi serbuk pil sama, dua paket syabu serta dua tiub straw berisi dadah sama.

"Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM155,200 dan kita turut menyita wang tunai berjumlah RM52,000 serta empat kereta dan sebuah motosikal bernilai RM128,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata polis turut merampas sepucuk senjata api jenis Revolver .38 mengandungi dua butir peluru. Polis juga menahan lapan lelaki berumur antara 19 dan 37 tahun termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun dalam ketiga-tiga serbuan itu bagi membantu siasatan, katanya. Jalaluddin berkata kesemua suspek itu direman antara empat dan tujuh hari bermula semalam.

Katanya dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Desa Melati, Kampung Kubang Gali, Tanah Merah, 8.30 malam Ahad lepas, polis menahan empat lelaki berumur 24 hingga 37 tahun, masing-masing dua dari Terengganu, seorang dari Negeri Sembilan dan seorang dari negeri ini.


No comments:

Post a Comment