Pusat Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengadakan program Bicara Keluarga Sakinah bersama penulis buku dan penceramah terkenal, Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim.
Ketua Pusat Islam Irswadi Azmi berkata ia adalah siri ketiga program itu di mana penceramah sebelum ini ialah Profesor Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Norhafizah Musa.
"Sebagai sebuah universiti yang tiada satu pun fakulti pengajian Islam, UMT mengambil keberkatan Ramadan untuk mengadakan pelbagai aktiviti Islamik bagi mengisi kekosongan itu.
"Ia juga bertujuan mengisi kerohanian dan meningkatkan kekuatan emosi warga UMT agar dapat melahirkan budaya kerja dan pembelajaran yang lebih mantap di mana faedahnya untuk kebaikan kami semua," katanya ketika ditemui semalam.
Seramai 300 pelajar dan kakitangan UMT hadir ke program itu yang memberi pelbagai petua membina keluarga sakinah dengan mengubah diri menjadi hamba Allah yang terbaik.
Mengulas mengenai aktiviti Pusat Islam UMT bulan Ramadan ini, Irswadi berkata pihaknya menganjurkan tadarus Al-Quran yang disertai 30 peserta terdiri daripada petugas universiti itu dan mereka dijangka mengkhatamkan kitab suci itu dalam satu majlis khas yang akan diadakan 5 Ogos depan.
"Setiap minggu, kami menganjurkan majlis ilmu antaranya bersama Mufti Negeri Terengganu iaitu Dr Zulkifli Muda dalam program Anda Bertanya Mufti Menjawab dan program agihan sumbangan daging dan beras kepada 20 keluarga miskin di Mengabang Telipot pada 28 Julai nanti," katanya.
UMT juga membuka kaunter zakat sepanjang Ramadan sebagai kemudahan warganya menunaikan kewajipan Rukun Islam keempat itu.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UMT, Siti Khatijah Harun berkata sebuah pasukan sukarela, "Muslim Youth Volunteer", ditubuhkan bagi melatih pelajar menjadi sukarelawan bagi mendekati masyarakat setempat melalui program amal mengikut syariat Islam.
"Antara program yang telah diadakan ialah membantu pesakit Islam yang tiada waris di hospital, menziarah pusat jagaan orang tua dan anak yatim dan bergotong-royong membersihkan masjid, pantai dan tanah perkuburan," katanya.
Pada masa ini kelab itu mempunyai 380 pelajar yang berdaftar sebagai sukarelawan dan usaha menambah keanggotaannya giat dijalankan.
Katanya ia sebagai transformasi terhadap program pembangunan belia melalui program-program amal meliputi pelbagai aspek termasuk budaya, sosial dan meningkatkan syiar Islam yang memang sewajarnya dipelopori golongan cerdik pandai di menara gading.
No comments:
Post a Comment