Monday, July 8, 2013

Insiden Rogol Alih Tumpuan Pencapaian Selangor Sebagai Juara Keseluruhan



Dakwaan seorang atlet dirogol di Perkampungan Sukan telah mencalarkan imej temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 Kuala Lumpur yang melabuhkan tiranya semalam.

Insiden tersebut yang dilaporkan oleh media pada hari terakhir temasya itu telah mengalihkan perhatian terhadap pencapaian kontinjen Selangor sebagai juara keseluruhan edisi ke-16.

Selangor muncul juara keseluruhan buat kali ketujuh sejak temasya itu diperkenalkan pada 1986 dengan mengumpul 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa, sekali gus menyingkirkan Terengganu dengan kelebihan empat butir emas. 

Terengganu, dalam misi memburu gelaran kelima berturut-turut, menamatkan saingan di tempat kedua dengan 19 emas, 13 perak dan 13 gangsa diikuti Wilayah Persekutuan dengan 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.



Bagaimanapun, dakwaan insiden rogol oleh seorang atlet acara baling bola di Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas, telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong mengakui insiden tersebut telah mencacatkan temasya itu kali ini kerana ia adalah insiden pertama dalam sejarah penganjuran sukan itu. 

Bagaimanapun, MSN, selaku penganjur kali ini, menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Zolkples berkata pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam menjamin keselamatan atlet di persekitaran perkampungan sukan itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan adalah sukar untuk pengawal keselamatan bertugas melakukan pemeriksaan di setiap bilik penginapan atlet.

Akhbar hari ini melaporkan atlet remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej universiti itu.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan susulan itu, polis menahan tiga atlet semalam untuk membantu siasatan.

Berikutan insiden itu, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dan mengambil langkah agar kejadian seperti itu tidak berulang pada edisi sukan akan datang.

Tanggungjawab menjaga keselamatan atlet di Perkampungan Sukan bukan semata-mata terletak di bahu pengawal keselamatan malah pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai kontinjen turut memikul tanggungjawab tersebut.

Walaupun sikap atlet itu sendiri adalah di luar kawalan mana-mana pihak namun pegawai pasukan termasuk jurulatih perlu bertanggungjawab atas gerak-geri atlet di dalam dan luar gelanggang sepanjang temasya sukan itu.

No comments:

Post a Comment