Monday, July 8, 2013

Sultan Mizan Kurniakan Bintang Dan Darjah Kebesaran Negeri Di Istana Baharu

Mazlan kini Dato' Seri
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat pada majlis pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering di Kuala Terengganu, kelmarin yang berlangsung dua hari.

Asha'ari Bergelar Dato'
Za'abar Bergelar Dato'
Istiadat seterusnya pada Selasa ini adalah bagi upacara pengurniaan pingat.

Semalam, seramai 107 penerima bintang dan darjah kebesaran daripada keseluruhan 324 orang menerima pengurniaan dengan didahului Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Mereka berdua dianugerahi darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk.

Seorang lagi menerima darjah itu ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar namun beliau tidak hadir atas sebab tertentu.

Dua penerima darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk dan Toh Puan bagi isteri penerima ialah Hakim Mahkamah Tinggi Terengganu Datuk Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Seramai 13 individu pula menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Datuk dan Toh Puan bagi isteri mereka.

Antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu Datuk Za'abar Mohd Adib; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Asha'ari Idris dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara Datuk Raja Arif Raja Ali.

Selain itu, Pengarah Kerja Raya Terengganu Shafii Mohamad; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu Nor Akmal Abdul Fatah; Naib Yang Dipertua Perkaya Harun Hassan dan Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Samsiah Awang turut menerima D.P.M.T.

Dua perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang juga anak jati Terengganu, Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dari Unit 69, Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Allahyarham ACP Ibrahim Lebar dari Cawangan Khas Bukit Aman ialah antara enam penerima Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.M.Z). Noor Aziah Noor (balu Zulkifli) dan Rosiah Dahlan (balu Ibrahim), mewakili suami masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin; Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam Mohd Noor Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang ACP Roslee Chik dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman pula ialah antara 21 individu yang menerima Setia Mahkota Terengganu (S.M.T).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar pula ialah antara 26 individu yang menerima pingat Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z) selain Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu Zuhami Omar.

Balu Dr A Rahman, Azizah Nik Omar, 55, mewakili Allahyarham dalam majlis pengurniaan itu. Dr A. Rahman yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut meninggal dunia 26 Jun akibat kanser paru-paru.

Sejumlah 36 individu menerima Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong.

Pada pengurniaan pingat Esok pula, seramai enam orang menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C), 18 penerima Pingat Bintang Lama Berjawatan (B.L.B), 169 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan 23 penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B).

No comments:

Post a Comment