Jabatan Perikanan Terengganu berjaya mengeramkan 15,000 biji telur penyu Agar di pantai Pulau Perhentian, Besut sejak April hingga Jun tahun ini.
Pengurus Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang Abd Halim Mohd Nor berkata telur berkenaan diambil daripada 179 tempat pendaratan dalam tempoh itu.
"Pulau Perhentian ialah satu daripada kawasan yang dijaga oleh Jabatan Perikanan," katanya.
Abd Halim berkata Pantai Tiga Ruang, Tanjung Tukah, Pulau Seribu dan Tanjung Guntong ialah antara kawasan pendaratan utama di Pulau Perhentian.
Beliau berkata pantai-pantai itu dijaga beberapa petugas yang menyelia dan mengawasi telur-telur itu bagi memastikan ia tidak dicuri.
Abd Halim berkata pada tahun lepas pihaknya memperoleh 20,000 biji telur penyu Agar di Pulau Perhentian dan kesemua telur itu diramkan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 16,000 biji telur telah menetas dan kesemua anak penyu itu dilepaskan ke laut.
"Tahun lepas kami dapat lebih 200 sarang dan tahun ini kami jangka melebihi daripada tahun lepas," katanya.
No comments:
Post a Comment