Monday, July 15, 2013

Tengku Zaihan Mampu Teruskan Kesinambungan Perjuangan Dr A Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Gong Nering dalam Dewan Undangan Kuala Besut, Wan Mohd Sulaiman Wan Idris, 51, yakin calon Barisan Nasional (BN) meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman jika diberikan mandat, mampu meneruskan kesinambungan pembangunan seperti yang diperjuangkan oleh Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar, sebelum ini.

"Kita memerlukan satu calon yang 'fresh', berwawasan dan berkaliber dalam memastikan projek pembangunan berterusan sekiranya mahu membangunkan kawasan Kuala Besut," katanya.

Dengan keseimbangan pendidikan dunia dan akhirat yang dimiliki Tengku Zaihan, beliau berpandangan calon BN itu boleh pergi jauh. "Kalau dia (Tengku Zaihan) ditakdirkan menang, ia merupakan satu anugerah buat penduduk.

Kalau dilantik menjadi Exco (kerajaan negeri), kita percaya dia calon yang sesuai," katanya. Ghani Hassan dari Kampung Gong Tengah berkata masyarakat luar bandar sepertinya memerlukan wakil rakyat yang mudah didekati untuk mendengar keluh kesah mereka.

"Orang kampung ni tak minta banyak. Cuma kita harap calon BN ini sama prihatin seperti Allahyarham (Dr A. Rahman Mokhtar) yang turun padang dengar permasalahan setempat. Janganlah sombong nanti kalau dah jadi Adun," kata pemandu jentera berat kilang papan berkenaan.

Ghani, 66, yakin BN membuat proses pemilihan teliti dengan mengambil kira kehendak tempatan apabila meletakkan Tengku Zaihan sebagai calon.

Tengku Zaihan, bekas jurutera awam kelahiran Kampung Nail di Kuala Besut, akan ditentang calon Pas Endot@Azlan Yusof pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut 24 Julai ini.

Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian Dr A Rahman pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Kampung Gong Tengah adalah antara kawasan yang dikunjungi Tengku Zaihan pada Jumaat malam di mana beliau berkesempatan bertemu kira-kira 50 penduduk kampung tersebut.

Ismail Omar, 74, juga dari Kampung Gong Tengah berkata faktor usia bukan 'isu' untuk penduduk menilai calon muda seperti Tengku Zaihan, 37, asalkan idea dan kepimpinannya menyerlah.

"Pok (Saya) lihat sesiapa boleh jadi pemimpin asalkan dia mampu menjaga hati rakyat sebaiknya dan amanah dengan tanggungjawab diberikan.

Cuma kalau dilihat lebih jauh, calon BN boleh diharapkan akan menjadi wakil rakyat kita dengan latar belakang yang meyakinkan.

"Kita tidak mahu mana-mana calon parti tangkap muat untuk menjadi wakil rakyat hanya kerana berdasarkan atas sebab-sebab tertentu dan berkepentingan tertentu," kata pesara guru itu.

Sementara itu, Tengku Zaihan tidak memandang rendah terhadap kemampuan calon lawannya, Che Long dalam menghadapi pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Menurutnya, walaupun sokongan terhadap BN meningkat, beliau tetap turun padang bertemu rakyat agar mereka berterusan memberi sokongan kepada beliau dan BN.

Walaupun keletihan kerana jadual padat apatah lagi pada bulan puasa, namun ia tidak menjadi halangan untuk beliau turun padang bertemu dan menyelami masalah rakyat.

“Sejak turun padang tiga hari lalu pelbagai masalah rakyat disampaikan kepada saya dan semua aduan serta masalah dicatit.

Jika rakyat memberi mandat kepada saya, segala permasalahan akan cuba diselesaikan,” katanya.

Pada sesi program turun padang, Tengku Zaihan terserempak dengan Che Long apabila mereka berdua secara kebetulan berkempen di lokasi dan masa yang sama di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) di Kuala Besut pagi semalam.

Walaupun bersaing, namun apabila bertemu kedua-dua mereka amat mesra antara satu sama lain serta sempat bersalam-salaman.

Katanya, bilik gerakan khusus untuk mengumpulkan waris dan juga ahli keluarga beliau serta penyokong dibuka pada malam semalam berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Besut.

“Pusat gerakan ini untuk mengumpul maklumat mengenai saudara mara sebelah bapa saya yang mengundi di Kuala Besut dan tempat pertemuan keluarga serta penyokong,” katanya.

Sebelum ini bapa Tengku Zaihan, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah mahu membuka pusat gerakan khusus untuk ahli keluarga untuk mengumpul kira-kira 3,000 ahli keluarganya.

Selain itu, beberapa penduduk di Kuala Besut menyatakan harapan rakyat di kawasan itu agar calon BN memberikan khidmat cemerlang dan perjuang pembangunan, akan terbukti selepas diberikan mandat pada 24 Julai ini.

No comments:

Post a Comment